KUALA SELANGOR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan haiwan mati yang tular di Facebook Isnin lalu kononnya anak harimau bintang sebenarnya kucing batu yang merupakan spesies dilindungi sepenuhnya.
Pengarahnya, Haidar Khan Mokbolhasan berkata, perkara itu berdasarkan kepada gambar yang tular, namun pihaknya setakat ini masih belum menerima laporan berkaitan perkara itu.
Menurutnya, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau terjumpa dengan haiwan itu menghubungi Perhilitan dengan segera.
"Selain itu, kita menasihatkan pengguna jalan raya mematuhi had laju ditetapkan dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Haidar Khan berkata, habitat kucing batu itu boleh ditemui di dalam hutan dan pinggiran hutan.
"Malah, bagi sesiapa yang ingin memeliharanya memerlukan permit khas," katanya.
Sebelum ini tular di Facebook berhubung penemuan bangkai haiwan itu dipercayai di sebuah kawasan di Tanjong Karang.
Status dimuat naik di Facebook terbabit memaklumkan, haiwan itu ditemui sudah mati semasa individu terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah.
"Hendak tanya ini harimau jenis apa? Macam anak 'Cheetah' (harimau bintang)," kata hantaran Facebook berkenaan.