KPDNHEP Melaka hadkan pembelian roti Gardenia

Iklan
Kelihatan pelanggan memilih roti di sebuah pasar raya.

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengehadkan jumlah pembelian bagi beberapa barangan keperluan yang mendapat permintaan tinggi seperti roti putih, ayam, telur, gula, tepung dan beras di semua pasar raya dan kedai runcit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman berkata ia bagi mengelakkan situasi sama berlaku pada tahun lepas ketika negara akan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Rabu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata surat pemberitahuan mengenai itu telah diedarkan di semua premis perniagaan membabitkan kita-kira 8,000 peniaga runcit selain pusat beli belah, pasar raya, stesen minyak dan sebagainya.

"Inisiatif ini dilakukan bagi mengawal sumber supaya tidak berlaku pembelian panik di kalangan pengguna dan memastikan mereka membeli mengikut keperluan masing-masing.

Iklan

Sebagai contoh roti jenama Gardenia adalah barang paling laris dan menjadi rebutan pengguna ketika PKP, oleh itu kita mengehadkan satu bungkus bagi satu keluarga, begitu juga dengan roti bagi jenama lain,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di sebuah pasar raya di Ayer Keroh di sini, pada Selasa.

Ismail berkata pembeli juga tidak perlu panik kerana hasil pemantauan dijalankan KPDNHEP mendapati bekalan barangan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi di samping semua operasi perniagaan membabitkan pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa.

Iklan

Beliau berkata keadaan itu berbeza ketika pertama kali PKP dilaksanakan pada 18 Mac tahun lepas yang menyaksikan kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada barangan keperluan dalam pasaran.

"Pemantauan barangan keperluan ini membabitkan 140 peruncit terpilih daerah (DDR), 58 pemborong terpilih daerah (DDW) dan juga sejumlah mini stok dari senarai DDW terdiri daripada peniaga barangan keperluan seluruh negeri yang berperanan sebagai pembekal dan pengedar.

Justeru, pengguna dinasihatkan untuk mengelakkan pembelian panik kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran,” katanya. - Bernama