SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyuarakan kebimbangan sekiranya berlaku pembuangan pekerja sepanjang tempoh perintah darurat dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Rabu ini.
Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, apabila melibatkan pengisytiharan darurat dan PKP tersebut, sudah pastinya akan melahirkan kebimbangan dalam kalangan majikan dan pekerja tempatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurutnya, perkara tersebut dapat dilihat sebagaimana berlaku pada tahun lepas sewaktu pelaksanaan PKP, di mana ramai pekerja hilang pekerjaan sekali gus menjejaskan punca pendapatan mereka.
"Kami rasa ada sedikit kebimbangan dari segi ekonomi pekerja kerana ia akan memberi kesan kepada kelangsungan hidup pekerja, malah kami khuatir ada majikan yang mengambil kesempatan ke atas pengisytiharan darurat ini.
"Macam PKP tahun lepas, banyak perkara yang berlaku seperti majikan buang pekerja, tak bayar gaji, potong elaun dan pekerja terpaksa bekerja dari rumah (WFH).
"Jadi, benda ini ibarat datang balik. Datang pula dengan ‘two in one’ iaitu PKP dan perintah darurat. Kita juga bimbang jika tidak ada kesedaran atau maklumat yang lebih jelas daripada kerajaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, kerajaan sepatutnya merangka satu perancangan jangka masa panjang bukannya melaksanakan semula PKP.
Katanya, memang benar kerajaan dapat mengurangkan rantaian Covid-19 dan kadar kes positif dapat dikurangkan, namun apabila melihat kepada trend yang seterusnya, bilangan kes dikatakan semakin meningkat.
"Saya nampak benda ini pun macam satu ‘circle’, berbalik kepada keadaan asal. Tidak ada perancangan jangka masa panjang bagi memastikan rantaian penularan wabak ini dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar perancangan tersebut biarlah seiring dengan pembangunan ekonomi negara kerana pembangunan ekonomi turut melibatkan ekonomi pekerja.