KOTA BHARU - Pas menyifatkan pengumuman darurat kerajaan Persekutuan sebagai satu langkah yang tepat bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan sudah semestinya mempunyai alasan yang kukuh apabila membawa cadangan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, isu pandemik ini sangat meruncing dan jumlah kes yang banyak ketika ini sekali gus menjadikan keputusan untuk melaksanakan darurat adalah satu langkah yang relevan.
Namun begitu, Mohd Amar turut menyatakan kekecewaan apabila keputusan pengumuman darurat tersebut dilihat dari sudut politik yang membawa impak negatif.
"Pembangkang memang dia akan melihat daripada sudut yang negatif. Jadi kita nak kata macam mana lagi, masing-masing punya pandangan.
"Saya percaya sebab saya difahamkan ia cadangan daripada Kementerian Kesihatan sendiri supaya ada satu langkah yang lebih besar dan yang lebih tegas untuk mengawal pandemik ini.
"Saya bersetuju sebab bila kita duduk dalam kerajaan ini, kita ada tengok data-data dan maklumat berkaitan. Jadi kita nampak ada alasan yang munasabah untuk kerajaan isytihar darurat.
"Orang di luar kerajaan memang tidak tahu angka-angka ini, kalau mereka tahu pun dengar sahaja, tetapi kita dalam kerajaan kita ada laporan dan kita baca.
"Jadi sebab itu pada pandangan saya ini langkah yang sesuai,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Terdahulu, beliau hadir Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Sementara itu, Mohd Amar juga turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang terlalu banyak ‘berpolitiking’ sehingga mengetepikan isu penularan Covid-19.
Malah katanya, tindakan untuk menyegerakan PRU tidak sepatutnya dijadikan isu utama dan kerajaan masih mempunyai tempoh untuk memerintah sebelum PRU wajib dilaksanakan.
"Itu proses biasa. Bukannya kita kata sampai bila-bila Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri. Selepas ini kalau pembangkang menang, pembangkang lah jadi kerajaan.
"Jadi kenapa kita mesti nak cepat, mesti nak buat sebelum bulan Februari dan sebagainya. Sekarang ini isunya adalah kepentingan rakyat, yang kita nak tafsir politik itu kenapa?
"Sekarang ini siapa yang boleh atasi isu Covid? Kalau kita tukar kerajaan sekalipun, adakah kerajaan yang baharu itu nanti boleh menghalang dan boleh mengatasi isu ini,” soalnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos
Keputusan darurat utamakan rakyat dan negara: Pas
Perisytiharan darurat tidak boleh dicabar