GEORGETOWN- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa gagal memperjuangkan nasib belia di negara ini.
Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, Ketua Armada itu dilihat hanya meneruskan dasar serta pelaksanaan yang telah dibuat bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika BN memerintah dahulu.
Menurutnya, sejak Syed Saddiq mengambil alih kementerian tersebut, tiada sebarang perubahan dapat dilihat dan dinikmati golongan muda sehingga ke hari ini.
"Saya lihat, beliau gagal menggalas tanggungjawab sebagai menteri yang diamanahkan untuk menjaga pembangunan belia dan sukan negara serta memperjuangkan nasib golongan muda di negara ini.
"Sudah sembilan bulan beliau memimpin kementerian yang menjaga hal ehwal orang muda, malangnya belum nampak perubahan dibuat. Sehingga kini, beliau hanya meneruskan sahaja apa yang dibuat Khairy, yang jelas lebih tersusun dan sistematik," katanya ketika menghubungi Sinar Harian.
Tambahnya, lebih menyedihkan, pelbagai isu dan kemelut timbul sejak Syed Saddiq menerajui kementerian tersebut antaranya isu peletakan jawatan dan elaun atlet.
"Program yang dianjurkan juga dilihat 'perlahan' dan tidak serancak ketika di bawah Khairy dahulu. Terbaharu, kegagalan beliau membantu mempromosikan produk anak muda seperti yang dijanjikan. Ia telah tular dan dikecam teruk di media sosial apabila belia merasakan janji kerajaan baharu hanya tinggal janji.
"Pada ketika ini, nampaknya gelombang tidak puas hati orang muda sudah mula membuak-buak terhadap pemimpin muda ini. Adakah Syed Saddiq masih tidak sedar golongan muda mula resah dan bimbang dengan masa depan mereka di bawah kerajaan PH?
"Mereka masih menunggu semua janji manifesto untuk ditunaikan kerana mereka telah memberi mandat kepada PH dalam PRU14 lalu. Antara janji sejuta peluang pekerjaan, pelupusan PTPTN, perumahan dan membantu meningkatkan sara hidup golongan muda kini hanya tinggal janji," katanya.
Norhiesam berkata, lebih menyedihkan, bantuan sara hidup untuk golongan muda yang berpendapatan bawah RM2,000 juga telah dimansuhkan.
"Adakah golongan muda tidak berhak mendapat bantuan sedangkan mereka juga antara yang memberi mandat kepada PH untuk memerintah negara ini dalam PRU lalu. Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan, dengarlah masalah orang muda.
"Usahlah berbangga dengan populariti menerusi bilangan pengikut Instagram dan hanya pandai menyusun kata-kata sahaja. Turunlah ke akar umbi, berjumpa dengan anak-anak muda di kampung dan di pinggir bandar. Lihat sendiri betapa susahnya mereka meneruskan kehidupan walaupun sebelum ini mereka dijanjikan dengan janji manis," katanya.
Norhiesam juga mengingatkan Syed Saddiq agar menunaikan janji manifesto PRU14 kerana kuasa anak muda amat besar, dan tidak mustahil akan menghumbannya keluar dari kerajaan jika masih gagal menepati janji.