PKP: Hanya 30 jemaah solat Jumaat di Wilayah Persekutuan

Iklan
Jemaah menunaikan solat Jumaat dalam norma baru apabila diletakkan dalam jarak satu meter antara satu sama lain selain memakai pelitup muka.

KUALA LUMPUR - Solat Jumaat di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dibenarkan sehingga 30 orang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan berkenaan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan beliau berkata, sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin pada Isnin, solat fardu pula hanya dibenarkan dengan maksimum lima jemaah, yang terdiri daripada ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid.

Selain itu, katanya laungan azan bagi solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa, namun semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan perlu ditangguhkan buat sementara waktu.

Iklan

"Aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya boleh dilaksanakan secara dalam talian atau FB Live yang dibuat di kediaman penceramah dan dikongsikan kepada ahli kariah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengurusan masjid untuk mematuhi dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan diikuti termasuk mewujudkan kaunter di pintu masuk untuk memeriksa suhu badan, sanitasi dan merekod kehadiran jemaah.

Iklan

Selain itu, beliau mengingatkan pengurusan masjid untuk kerap melakukan sanitasi di ruang solat dan kawasan sekitar dan memastikan petugas mencukupi untuk mengawal jemaah dari segi pematuhan SOP. - Bernama