Contohi teknologi pertanian negara Timur Tengah

Iklan
Ahmad Tarmizi (dua dari kiri) dan Abdul Hadi (tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu kehormat dan warga kerja MADA seusai majlis libat urus bersama peladang.

ALOR SETAR - Negara khususnya Kedah selaku negeri Jelapang Padi disaran meningkatkan peluang kerjasama dengan negara Timur Tengah bagi memanfaatkan teknologi terkini sektor pertanian daripada dunia Islam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, antara negara yang memiliki teknologi pertanian dalam penanamanan padi adalah Iran manakala Libya membangunkan kawasan padang pasir menjadi kawasan pertanian yang subur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, negara kita boleh mencontohi kejayaan di kedua-dua negara terbabit dengan melakukan pemindahan teknologi mengikut kesesuaian.

"Ini antara lontaran idea dikemukakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memajukan petani, agensi pertanian dan pertubuhan peladang di negara ini untuk meneroka dan menjalin hubungan dengan petani di Timur Tengah yang sangat berpengalaman serta maju teknologinya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Ahmad Tarmizi berkata, perkara itu menjadi topik perbincangan ketika Abdul Hadi mengadakan lawatan kerja dan sesi libat urus bersama warga MADA serta peladang di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar pada Isnin.

Mengulas lanjut, katanya, Abdul Hadi turut menyatakan komitmen langsung untuk mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dan negara-negara di Timur Tengah dalam konteks kerajaan dan masyarakat di kedua-dua negara.

Ahmad Tarmizi (kiri) mengiringi Abdul Hadi ketika acara penanaman pokok sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar.

Iklan

"Pengairan di sana yang terbaik untuk kita contohi kerana kadar hujan di negara berkenaan rendah dan sudah tiba masanya kita menaik taraf sistem pengairan negara agar sektor pertanian padi lebih terjamin walaupun berdepan musim kemarau,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi berkata, Iran berjaya menghasilkan tahap sara diri (SSL) padi melebihi 100 peratus dan mewujudkan kawasan jelapang padi yang luas serta menghasilkan padi bermutu, selain mampu mengeksport beras termasuk menghasilkan beras Basmati berkualiti tinggi.

Justeru katanya, galakan untuk meningkatkan sains pertanian melalui kajian-kajian bagi meningkatkan mutu pertanian amat diperlukan.

"Pada ketika ini SSL negara adalah pada kadar 70 peratus yang mana banyak faktor menyumbang kepada pengeluaran yang rendah antaranya kepelbagaian padi, kesesuaian tanah dan pembajaan. Negara hanya mengeluarkan permintaan penggunaan beras sebanyak 70 peratus manakala baki 30 peratus diimport.

"Saya harap cetusan idea ini bakal merangsang semangat pak tani untuk terus memerah keringat dan mencurah tenaga bagi mengukuhkan lagi industri penanaman padi di Jelapang Padi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, aspek lain yang turut diberikan tumpuan adalah usaha kerajaan untuk menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian dengan menyediakan pelbagai inisiatif dan galakan serta jaminan masa depan kepada mereka untuk menyedarkan mereka kepentingan terlibat dalam sektor pertanian.