SHAH ALAM - Seorang lelaki dari Klang, Selangor yang menetap di San Francisco Bay Area, California mencuri perhatian netizen kerana gigih melatih isterinya supaya fasih menggunakan bahasa Melayu.
Logesh Kumar, 33, yang bertugas sebagai 'media strategies' di sebuah agensi pemasaran di negara itu mengajar isterinya, Rachel, 30, bertutur dalam bahasa Melayu kerana mahukan ahli keluarganya mengetahui bahasa ibunda bagi negara asalnya.
"Saya sudah membimbing isteri sejak beberapa tahun lalu tetapi lebih serius ketika Covid-19 melanda negara, mengakibatkan kami perlu berada di rumah sepanjang hari.
"Mengambil kesempatan ini, saya didik isteri pelajari bahasa Melayu. Saya menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan setiap hari kerana dengan cara ini, Rachel dapat memahami dan lebih mudah untuk dia mengingati sesuatu perkataan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.