AWANG sebetulnya tak terperanjat kerajaan laksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri termasuk di Sabah.
Di negeri-negeri lain dilaksanakan PKPB (Bersyarat) dan PKPP (Pemulihan). Patutnya lebih awal lagi.
Memang keadaan wabak di Malaysia begitu mencemaskan. Kata Tan Sri Perdana Menteri, kadar kebolehjangkitan wabak itu diunjurkan akan mencecah 8,000 sehari pada bulan Mei ini.
Memang tindakan pantas kena diambil. Kemudahan untuk rawatan di hospital pun dah tenat. Fasiliti di hospital tidak lagi dapat tampung kes 2,000 sehari. Hal itu akan jadi lebih parah.
Awang harap tindakan itu dibuat dengan tegas dan tak pilih bulu. Rakyat dah muak tengok orang besar dan anak beranak orang besar langgar PKP.
Ada wakil rakyat yang tak dikuarantin dibenarkan masuk dewan persidangan di Parlimen. Ada Menteri dan Timbalan Menteri yang langgar SOP. Rakyat Malaysia sanggup berkorban apa saja macam kata P Ramlee untuk lawan wabak itu.
Orang politik pun janganlah main politik berlebih-lebih masa ini. Kepentingan rakyat yang patut diutamakan.
Awang hendak ingatkan Tan Sri Perdana Menteri, bagi kebanyakan rakyat PKP dua minggu ini besar kesannya.
Awang syak tak cukup dua minggu PKP ini, besar kemungkinan ditambah lagi. Awang harap Tan Sri Perdana Menteri pastikan bantuan diberikan pada yang memerlukan.
Awang juga harap moratorium bayaran balik oleh bank dikekalkan sehingga PKP selesai. Ini masa bank berkorban macam rakyat juga.