SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengakui beliau keliru dengan tindakan segelintir pemimpin UMNO yang mengumumkan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, tindakan itu tidak selari dengan keputusan parti yang memutuskan penyertaan mereka dalam kerajaan adalah secara en bloc (kemasukan secara blok).
"Ini saya mengaku, saya pun terkeliru. Saya berpegang kepada keputusan parti tapi kenapa ada tindakan-tindakan individu yang tidak selari dengan parti.
"Jadi (situasi) ini saya rasa patut kita harmonikan. Kepimpinan parti terutama presiden mesti mencari jalan mengharmonikan antara keputusan parti dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh individu," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-224 bertajuk PN: Kerjasama sekerat jalan? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Turut bergandingan bersama Annuar sebagai panelis adalah Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib manakala Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.
Ditanya mengapa segelintir pemimpin UMNO bertindak sedemikian, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ia kerana timbul kekecewaan antara pemimpin dan ahli Parlimen UMNO kepada kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila berlaku perkara-perkara tertentu.
"Cuma saya merasakan kekecewaan itu perlu diuruskan sebab sebahagiannya adalah persepsi. Saya banyak kali berinteaksi dengan kerajaan dan Perdana Menteri, saya dapati Perdana Menteri bersifat terbuka.
"Perdana Menteri sanggup mendengar berkali-kali masalah tetapi jurang (hubungan antara UMNO dan Bersatu) itu tidak dirapatkan. Sebab itu saya masih positif, walaupun sekarang ada krisis tapi saya masih mendoakan agar keharmonian dapat dikembalikan," katanya.
Berikutan itu, Annuar menyeru agar UMNO mengambil peluang sepanjang tempoh pengisytiharan darurat yang menyaksikan tidak ada persidangan Dewan Rakyat untuk bermuhasabah diri dan memperbetulkan keadaan.
"Tapi di pihak Bersatu juga saya harap mengambil sikap terbuka memperbaiki kalau ada perkara yang menyebabkan tersinggungnya ahli UMNO. Ruang untuk kita wujudkan persefahaman itu ada.
"Saya juga menyeru pemimpin UMNO untuk menyatupadukan ahli kerana kalau kita tidak dapat lakukannya maka lebih susah kita nak bekerjasama dengan orang lain," katanya.
Annuar menegaskan, beliau yakin jurang perbezaan pendapat dalam UMNO dapat diuruskan dengan baik bagi memastikan kerjasama yang terbentuk di bawah PN dapat diteruskan.
"Kalau itu dapat diharmonikan semula, maka PN yang dikatakan bekerjasama sekerat jalan itu, (kerjasama) dapat disambung semula perjalanannya menuju pilihan raya umum yang kita harap dapat diadakan secepat mungkin selepas kita menguruskan dengan baik masalah penularan Covid-19," katanya.
Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, beliau masih percaya kepada konsep PN dan berpegang kepada prinsip bahawa dalam politik negara ini, kelompok teras iaitu orang Melayu dan Islam mesti bersatu dan disatukan.
Menurutnya, dari situlah UMNO, Pas dan Bersatu mempunyai peranan besar yang tidak harus dirosakkan disebabkan ketidakselesaan yang timbul.
"Sampai sekarang saya masih belum putus asa, walaupun saya kena pecat, saya tetap berpegang kepada pendirian bahawa UMNO, Pas dan Bersatu merupakan kelompok teras untuk menstabilkan politik negara kerana di luar sana kita ada tanggungjawab besar kepada rakyat.
"Kalau kita berpolitik sorong tarik, kita menyumbang kepada ketidakstabilan. Negara tengah sibuk dengan Covid-19, kita nak letak jawatan atau tarik sokongan. Rakyat akan menyampah," katanya.