KOTA BHARU – Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia perlu berganding bahu untuk turun padang membantu masyarakat yang memerlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, NGO perlu membantu menyelidik masalah yang mereka hadapi sepanjang PKP terutama kepada kumpulan peniaga.
Iklan
Iklan
"Tanya apa masalah mereka dan keperluan mereka. Kalau mereka tidak dapat berniaga, apa puncanya, kaji, siasat dan bantu. Ada di antara mereka yang masih tidak mahir berniaga melalui dalam talian dan sebagainya. Maka inilah peluang kita untuk bantu mereka.
"Semua NGO juga perlu berganding bahu bersama pihak kerajaan dan pelbagai agensi bagi memastikan kita boleh menyalurkan bantuan sebaik mungkin kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, langkah ini penting bagi memastikan peniaga tidak hilang sumber pencarian dan akan berusaha dengan pelbagai inisiatif yang ada serta menjadikan PKP lalu sebagai panduan.
Mengulas lanjut mengenai pengumuman darurat pada Selasa, Mustapha berkata, semua pihak perlu akur dengan keputusan tersebut bagi memastikan penularan wabak covid-19 dapat dikawal sebaik mungkin.
"Penyakit Covid-19 ini lebih bahaya sekiranya tidak dicegah dengan serius. Dengan adanya darurat ini, perancangan lebih fokus mungkin boleh dilakukan. Ramai pemikir boleh bagi idea mereka untuk melakukan langkah pencegahan serta sebagainya,” katanya.