Bekerja dari rumah bukan peluang bersenang-lenang

Iklan
Mohd Khairul Adib

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman memberi amaran kepada penjawat awam agar tidak menganggap bekerja dari rumah (BDR) sebagai peluang untuk bersenang-lenang.

Menurutnya, semua pegawai perlu berada di rumah masing-masing semasa BDR dijalankan.

Iklan
Iklan

"Lebih teruk lagi, ada yang menggunakan kesempatan BDR untuk keluar bersantai atau membeli-belah di pasar raya," katanya ketika menyampaikan Amanat KPPA 2021: Mendepani Cabaran Melangkaui Ekspektasi secara dalam talian pada Rabu.

Beliau berkata, perkara itu masih berlaku walaupun telah dijelaskan dalam arahan berkenaan BDR.

Iklan

"Kes-kes sebegini menimbulkan persoalan, setakat manakah amanahnya kita sebagai penjawat awam? Walaupun ia tidak terlibat dengan kes yang dikategorikan sebagai rasuah," katanya.

Mohd Khairul Adib berkata, penularan Covid-19 merupakan titik tolak kepada pengukuhan era pendigitalan dalam perkhidmatan awam.

Iklan

"Kalau dahulu kita mempunyai pelbagai platform untuk menguruskan urusan pencen, cuti, permohonan belajar, bayaran pinjaman dan lain-lain lagi, saya menjangkakan kita mampu menyatukan kesemua perkhidmatan bawah satu platform dengan aplikasi pintar yang boleh diintegrasikan dengan aplikasi kerajaan yang lain," katanya.

Justeru katanya, sesebuah organisasi boleh berjaya jika ia dapat melihat dan membuat jangkaan perubahan yang akan berlaku di masa hadapan.

"Mana-mana organisasi yang tidak membuat perubahan dengan cepat akan ketinggalan dan gagal seperti yang berlaku kepada Syarikat Kodak yang hampir gagal biarpun pernah menjadi sebuah syarikat fotografi terkemuka berikutan kegagalannya melihat perubahan dunia fotografi ke arah digital," katanya.