SABAK BERNAM - Stok roti putih satu jenama terkenal di beberapa kedai runcit di daerah ini habis dalam masa singkat sejak tiga hari lalu.
Beberapa penjual roti yang ditemui Sinar Harian pada Rabu mendakwa bekalan roti itu dikurangkan kepada peniaga berikutan permintaan tinggi.
Seorang penjual roti di Taman Cahaya Sungai Besar, Jahir Hussain, 58, berkata, bekalan produk itu mendapat permintaan luar biasa.
Katanya, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini menyebabkan bekalan roti putih turut dikurangkan daripada 250 bungkus kepada 120 bungkus sehari.
"Alasan pengilang (stok roti putih dikurangkan) disebabkan permintaannya terlalu tinggi sejak beberapa hari ini.
"Pengeluaran roti di kilang juga berada di tahap maksimum kerana pengguna membuat pembelian panik," katanya.
Bagaimanapun, katanya, roti manis yang berperisa dikeluarkan syarikat terbabit masih mencukupi buat masa sekarang.
Peniaga kedai runcit di Pasir Panjang, Sekinchan, Fauzi Nor Ali, 38, berkata, jualan roti antara paling laris sejak penguatkuasaan PKP kali ini.
Katanya, pembelian roti putih misalnya dua atau tiga kali ganda berbanding hari biasa.
"Hari ini sahaja roti putih tinggal empat buku dan saya yakin dalam tempoh dua atau tiga jam lagi stoknya akan habis," katanya.
Katanya, sebanyak 10 buku roti putih dibekalkan di kedai runcitnya pada setiap hari kecuali Jumaat.
"Kalau hendak dibandingkan PKP tahun lalu, stok roti putih memang cepat habis, kita tunggulah dua atau tiga hari lagi sama ada keadaan sama berulang atau sebaliknya," katanya.
Seorang penduduk di Taman Bedena, Hamdan Khaidir, 58, berkata, pembelian panik pengguna menyebabkan bekalan roti putih habis di pasaran.
"Mereka tidak sepatutnya membeli secara berlebihan sekali gus tidak mencukupi.
"Saya pun pelik mereka yang membeli roti dalam kuantiti banyak seolah-olah ingin berniaga pula sedangkan roti yang mempunyai tarikh luput jika tidak dimakan boleh menyebabkan pembaziran," katanya.