39 sekatan jalan raya di KL, Putrajaya

Iklan
Saiful Azly Kamaruddin

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur melaksanakan 39 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh ibu kota dan Putrajaya sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya turut mewujudkan 37 pasukan pemantauan bertugas di enam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Dang Wangi, Cheras, Wangsa Maju, Brickfields, Sentul dan Putrajaya.

Iklan
Iklan

"Seramai 1,291 anggota yang terbabit dalam penugasan SJR dan pemantauan berkenaan.

"Bagaimanapun, jumlah SJR serta keanggotaan itu mungkin akan bertambah dari masa ke masa bergantung kepada keperluan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.

Iklan

Saiful Azly berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Kita mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar SOP ditetapkan pihak berkuasa. Saya menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Iklan

Mengulas mengenai kebenaran rentas negeri, Saiful Azly memaklumkan, orang ramai boleh membuat permohonan itu di mana-mana balai polis berhampiran mereka.

"Permohonan itu tidak semestinya dibuat di balai polis berhampiran alamat tempat mereka bermaustautin tetapi orang ramai boleh memohon di lokasi mereka berada (seperti tempat kerja)," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri selama 14 hari bermula Rabu sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Pelaksanaan itu melibatkan enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terangganu dan Kelantan.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.