SIBU - Orang ramai boleh pergi ke mana-mana balai polis yang berhampiran untuk mendapatkan permit perjalanan rentas daerah, kata Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit.
"Ia tidak bermakna memandangkan Sibu adalah zon merah, orang ramai hanya boleh mendapatkan permit itu di Balai Polis Pusat Sibu. Tidak, mereka boleh dapatkannya dari mana-mana balai polis berhampiran,” katanya menjelaskan kekeliruan orang ramai berhubung perkara itu.
Stanley berkata, ia adalah untuk mengelakkan sebarang kesesakan yang tidak diingini di Balai Polis Pusat Sibu yang akan menghalang orang ramai menjaga penjarakkan fizikal.
"Kami masih memberi kelonggaran kepada rakyat hari ini (Rabu) dalam keperluan untuk mendapatkan permit perjalanan.
"Kami akan menguatkuasakan sepenuhnya esok (Khamis) tetapi bagi mereka dalam perkhidmatan penting seperti pemandu lori dan sebagainya, mereka tidak perlu memohon permit,” katanya.
Stanley mengesahkan tiada seorang pun anggotanya diuji positif Covid-19 setakat ini tetapi secara individu sebahagian daripada mereka terpaksa menjalani ujian calitan sebagai langkah berjaga-jaga.
Berhubung perkara lain, beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) terutama mereka yang melanggar kuarantin di rumah dan pengusaha kedai makan.
"Mereka yang melanggar perintah kuarantin di rumah dan pengusaha makanan yang beroperasi melebihi waktu yang ditetapkan, tidak dikenakan kompaun kali ini tetapi kami akan dakwa mereka dengan segera di mahkamah.
"Kami kini mempunyai dua hotel yang menawarkan bilik untuk kuarantin berbanding satu hotel sebelum ini. Tiada lagi kuarantin di rumah,” katanya.
Katanya, polis Sibu mengadakan sekatan jalan raya di tiga lokasi iaitu di persimpangan Rumah Langi Ambau di Pasai Siong, KM19 Jalan Sibu-Bintulu dan di Bulatan Paradom. - Bernama