Lelaki warga asing dikompaun RM1,000 cuba lalui SJR

Iklan
Mohamad (tiga dari kiri) ketika meninjau sekitar SJR di Tol Senawang pada Rabu.

SEREMBAN - Seorang lelaki warga Indonesia dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, lelaki berkenaan berusia 30-an melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) kira-kira jam 9.30 pagi di Tol Senawang mendakwa dari arah Nilai menghala ke Senawang.

Iklan
Iklan

"Dia mendakwa dari Nilai, tetapi apabila diperiksa lebih lanjut mendapati ada maklumat yang meragukan seperti alamat pada pasportnya menunjukkan dia menetap di Kuala Lumpur.

"Selain itu, dia mendakwa rumahnya di Senawang dan ketika ditanya lebih lanjut dia tidak memberikan maklumat yang meyakinkan dan saya rasa dia cuba berbohong," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan SJR di Tol Senawang, di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Sementara itu, Mohamad berkata, terdapat 17 SJR di seluruh negeri ini bermula tengah malam Rabu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan pada Isnin.

Iklan

"Pelaksanaan SJR pada hari pertama di Negeri Sembilan bermula tengah malam tadi berada dalam keadaan terkawal.

"Setakat ini satu kompaun dikeluarkan kepada seorang warga asing selepas didapati ingkar PKPB di mana dia tidak dapat memberi alasan yang munasabah untuk masuk ke Senawang.

"Kita akan membuat pemantauan lebih tegas dan berharap orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Mohamad berkata, antara SJR yang dilakukan adalah di jalan Lubok China- Melaka, Sungai Lui-Pahang, Tampin-Melaka dan Port Dickson-Sepang serta di plaza tol susur keluar masuk dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di tol Pedas, tol Seremban-Labu, tol Nilai-Plus, tol Pajam-Mantin dan tol Setul-Lekas.