Pemilik restoran lukisan Komunis hadir beri keterangan

Iklan
Dev Kumaraendran (depan) bersama pemilik restoran (kanan) dan isterinya hadir di IPDTL untuk memberi keterangan.

GEORGETOWN - Pemilik restoran yang menjadikan karya lukisan semasa era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk memberi keterangan.

Pemilik restoran berusia 41 tahun itu hadir bersama isterinya dan ditemani peguam, Dev Kumaraendran kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Rabu.

Iklan
Iklan

Difahamkan, kedua-dua pasangan suami isteri itu akan diambil keterangan berhubung dua restoran milik mereka yang terletak di Pulau Tikus di sini dan Icon City, Bukit Mertajam.

Dev Kumaraendran berkata, pemilik Restoran Xiang Ge Li La Authentic Hunan itu tidak berniat untuk menggambarkan elemen komunis di dua premis mereka melalui karya lukisan di dinding seperti yang didakwa beberapa pihak.

Iklan

"Tidak mungkin begitu (berniat untuk menggambarkan elemen komunis). Itu yang dinyatakan oleh anak guam saya.

"Bagaimanapun, sama ada ia benar atau tidak, ia bergantung kepada persepsi dan siasatan polis," katanya ketika ditemui media di pekarangan IPDTL.

Iklan

Pemilik restoran warga tempatan bersama isterinya warganegara China dijangka akan memberi keterangan mengenai dua premis mereka kepada dua pegawai penyiasat di IPDTL.

Ia melibatkan pegawai penyiasat dari IPDTL untuk restoran di Pulau Tikus dan Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) untuk restoran di Icon City, Bukit Mertajam.

Menurut Dev Kumaraendran, restoran di Pulau Tikus telah beroperasi sejak empat tahun lalu manakala di Icon City pula, baharu beroperasi dua tahun.

Dev Kumaraendran (kiri) mengiringi anak guamnya di IPDTL pada tengahari Rabu.

"Selama kedua-dua restoran beroperasi, ia menggunakan karya lukisan (di dinding) yang sama, tidak pernah ditukar.

"Selama itu, tiada sebarang masalah pun sebelum ini, malah tiada mana-mana pihak yang meminta dipadamkan," katanya.

Jelasnya, anak guamnya sepatutnya hadir memberi keterangan lebih awal namun terpaksa ditangguhkan kerana berada di bawah arahan kuarantin untuk Covid-19 sejak 31 Disember lalu.

"Tempoh kuarantin mereka tamat pada pagi ini dan mereka disahkan bebas Covid-19.

"Di atas sebab itu, mereka hadir hari ini untuk memberi keterangan. Mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis malah bersedia untuk kembali bagi memberi keterangan selepas ini jika diperlukan," katanya.

Ditanya sama ada anak guamnya akan ditahan selepas ini, Dev Kumaraendran berkata, ia tidak mungkin namun tidak menolak sebarang kemungkinan.

"Apa sahaja boleh berlaku selepas siasatan polis dijalankan.

Terdahulu, dua restoran di negeri ini menjadi tular di dalam laman sosial WhatsApp dan Facebook sekali gus mendapat kecaman netizen selepas didakwa menggunakan karya lukisan yang mempunyai elemen komunis.

Tidak lama kemudian tersebar video anggota polis yang mengambil tindakan dengan membuka poster dan hiasan dinding pada salah satu restoran berkenaan dipercayai di Juru.

Susulan itu, polis telah menyerbu dan merampas pelbagai gambar dan cawan yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di dua premis restoran tersebut

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra'ais berkata, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.