Pasca banjir: Sukarelawan bantu mangsa terjejas

Iklan
Sukarelawan membersihkan kediaman mangsa banjir di Kemaman yang dipenuhi lumpur.

KEMAMAN - Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kemaman telah menggerakkan hampir 80 tenaga sukarelawan bagi membantu operasi pasca banjir di daerah itu yang terjejas dengan bencana banjir gelombang kelima baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Pemuda ISMA Kemaman, Rusman Toni berkata, tumpuan utama misi itu adalah membersihkan kediaman penduduk yang rosak akibat banjir, selain bantuan barangan keperluan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi menjayakan misi itu, pihaknya turut mendapat kerjasama sukarelawan daripada Kolej Universiti TATI (TATIUC) dan Kolej Kemahiran Tinggi Malaysia (KKTM) Kemaman.

"Dalam misi kali ini, kita berjaya membersihkan 50 kediaman di Taman Koperasi Perdana di Binjai, Kampung Tanjung Bukit Mentok, Taman Binjai Permai, Taman Pandan Sejahtera dan Taman Desa Solehah.

Iklan

"Kita mengambil inisiatif ini bagi mengurangkan kesedihan dan kelelahan mereka menghadapi banjir.

"Antara keutamaan kami adalah membersihkan kediaman warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) kerana kita sedar kekangan yang dihadapi golongan ini," katanya.

Iklan

Jelas Rusman, misi itu akan diteruskan mengikut keperluan, dari masa ke masa sebagai salah satu program khidmat sosial persatuan itu.

Gelombang banjir kelima yang bermula 3 Januari lalu dan berakhir Isnin menyaksikan hampir 14,000 mangsa terlibat di daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu.

Kemaman adalah daerah yang paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 12,000 orang.

Sukarelawan membersihkan kediaman mangsa banjir di sekitar Kemaman.