ALOR SETAR - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan antara individu paling sesuai dilantik sebagai Pengerusi Bersatu dan PH Perlis, menggantikan Ameir Hassan yang telah ditamatkan jawatan itu.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu sememangnya layak kerana memiliki latar belakang yang cemerlang.
Menurutnya, Wan Saiful memiliki rekod bersih dalam politik selain mempunyai kemahiran berfikir serta berpengalaman luas dalam pembuatan dasar kerajaan susulan beliau merupakan pengasas yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
"Saya yakin Wan Saiful berkebolehan untuk menyatukan ahli parti itu di Perlis kerana beliau dilihat boleh diterima baik pemimpin dan ahli sayap parti termasuk komponen PH Perlis. Beliau juga tidak terpalit dengan apa-apa masalah berkaitan,” katanya.
Dr Kamarul Zaman berkata, Wan Saiful juga dilihat mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi Bersatu.
"Kali ini Bersatu harus lebih berhati-hati memilih pemimpin, selain selektif hendaklah melantik individu yang disenangi ramai pihak,” katanya.
Menurutnya, Wan Saiful juga tiada masalah integriti, malah diketahui umum amat tegas menentang penyelewengan yang berlaku walau dalam partinya sendiri.
"Saya lihat beliau sudah menunjukkan kewibawaan selaku Pengerusi PTPTN, termasuk berjaya mencapai kutipan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tertinggi yang pernah dicapai sejak SSPN diwujudkan,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya Wan Saiful disenangi rakyat Perlis, walaupun bertanding PRU14 di Pendang, Kedah.
Dr Kamarul Zaman berkata, kesungguhan Wan Saiful membela rakyat Perlis turut digambarkan menerusi usaha beliau menganjurkan Kongres Melayu Perlis pada 29 Januari lalu.
"Bukan kerja mudah mengumpulkan semua tokoh besar Perlis dan negara, menjayakan program bersama, namun beliau berjaya gabungkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin serta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin,” katanya.
Menurutnya, malah matlamat penganjuran kongres itu bagi mengenalpasti kegusaran masyarakat Melayu terhadap kerajaan serta memperjelaskan kemusykilan, menunjukkan beliau pemimpin yang peka dengan denyut nadi rakyat.
"Ini termasuk resolusi-resolusi yang dihasilkan, mengembali dan mengangkat semula maruah dan martabat umat Melayu-Islam dalam semua aspek kehidupan dan kebudayaan, ia selari dengan aspirasi rakyat Perlis,” katanya.
Tambahnya, pemimpin sebegini yang harus ditonjolkan untuk dilantik terajui kepimpinan parti seterusnya memacu Perlis agar selari dalam arus pembangunan negara.