KUANTAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menaikkan denda RM100 kepada RM1,000 terhadap seorang remaja lelaki kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keluar rumah untuk menghantar pulang mayat teman wanitanya selepas terlibat kemalangan jalan raya tahun lepas.
Hakim, Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap denda RM100 yang dijatuhkan ke atas remaja berusia 17 tahun itu oleh Mahkamah Majistret Rompin pada 16 Julai 2020 selepas lelaki itu mengaku bersalah melanggar PKP dengan berada di luar rumah pada jam 3.15 pagi, 12 April tahun lepas.
Bagi kesalahan melanggar PKP denda maksimum adalah RM1,000.
Pada prosiding itu hanya pihak-pihak yang terlibat dalam kes tersebut yang dibenarkan masuk ke dalam bilik bicara mahkamah.
Peguam Hazwan Hamdan yang mewakili remaja berkenaan memberitahu media bahawa Zainal Azman memutuskan terdapat keperluan untuk beliau meminda hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Rompin.
"Mahkamah berpandangan jumlah denda perlu dinaikkan kepada RM1,000 seperti di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 atau ia akan menjadi rujukan oleh pihak lain bagi mendapatkan denda lebih rendah pada masa akan datang," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja hantar pulang mayat kekasih direman empat hari
Tinggal mayat kekasih di garaj kerana panik
Hazwan berkata, hakim juga memerintahkan pelajar tingkatan lima itu selaku responden menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal menjelaskan denda tersebut. Difahamkan abangnya telah menjelaskan denda tersebut.
Zainal Azman bagaimanapun menolak rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Majistret itu supaya remaja tersebut melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam untuk tempoh 18 bulan, menghadiri bengkel interaktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta membayar pampasan RM3,000 kepada keluarga teman wanitanya.
Beliau mengekalkan perintah mahkamah itu yang membuat keputusan terhadap remaja berkenaan selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menunggang motosikal dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan di KM137 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin pada hari dan masa sama dia melanggar PKP.
Kemalangan di laluan ladang kelapa sawit yang melibatkan seekor kerbau itu menyebabkan teman wanitanya, juga berusia 17 tahun, maut akibat parah di kepala dengan mayatnya ditinggalkan di garaj tempat letak kereta rumah keluarga remaja perempuan tersebut di Felda Keratong 10, Rompin.
Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dalam hujahan bertulis berkata hukuman RM100 yang terlalu rendah dibimbangi akan menjadi tanda aras bahawa pelanggaran PKP tidak akan menerima hukuman berat dan setimpal sedangkan pelaksanaannya adalah bagi membendung penularan wabak Covid-19.
"Pengakuan salah dan faktor umur responden tidak sepatutnya menjadi faktor utama dalam menjatuhkan hukuman kerana semasa kejadian, responden mempunyai tahap pemikiran yang normal dan sempurna serta latar belakang pendidikan mencukupi untuk menilai sebab dan akibat perbuatannya," katanya.
Peguam, Ahmad Deniel Roslan yang juga mewakili remaja itu dalam hujahan bertulis berkata tiada keperluan untuk meminda hukuman Mahkamah Majistret kerana telah menepati prinsip keadilan dan memadai memandangkan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mengaku bersalah di peringkat awal.
"Apa yang lebih penting ialah responden dapat meneruskan sesi persekolahan dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Malah, responden dan keluarganya juga telah berjumpa dengan keluarga remaja wanita itu bagi memohon maaf terhadap kejadian tersebut," katanya. - Bernama