Agong belanja Ustaz Ebit Lew makan ikan patin

Iklan
Ebit (kiri) beramah mesra dengan Yang di-Pertuan Agong. Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (kanan). - Foto Facebook Ustaz Ebit Lew

SHAH ALAM - Penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew melahirkan rasa terharu apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membelanjanya makan hidangan ikan patin Temerloh, Pahang.

Beliau bertemu Yang di-Pertuan Agong dalam misi bantuan banjir di negeri itu pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut Ebit, perasan malu menyelubunginya apabila dilayan dengan penuh mesra oleh Seri Paduka Baginda yang turut meminta beliau untuk membacakan doa sebelum makan.

"Tuanku Yang di-Pertuan Agong ulang kali cakap ustaz terima kasih beri bantuan di negeri Pahang. Allahuakbar. Sebenarnya sikit sangat bantuan kami berikan di Pahang ini.

Iklan

"Selalu nampak rombongan Tuanku Yang di-Pertuan Agong setiap hari beri bantuan banjir. Pecah tiga lagi. Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong, dan Pemangku Raja. Dari pagi sampai lewat malam," katanya dalam satu kenyataan ringkas dimuat naik di Facebook rasminya hingga menarik perhatian netizen.

Ebit turut memuji dan mengagumi kemesraan Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Iklan

"Tadi masa makan Yang di-Pertuan Agong disuapkan Permaisuri Raja. Bergurau mesra. Kasih sayang. Cinta sampai syurga," ujarnya.

Berkongsi cerita, sebaik selesai menjamu selera, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengajak Ebit bersama rombongannya untuk bergambar.

"Lagi rasa malu bila tiba-tiba Tuanku Yang di-Pertuan Agong bangun ajak team saya semua bergambar. Semua memang berdoa teringin nak bergambar. ALLAH kabulkan doa kami.

"Ya ALLAH inilah Raja kami yang teramat baik dan mulia. Berilah kebaikan dan rahmat kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan keluarga. Terima kasih ya ALLAH temukan kami dengan Tuanku Yang di-Pertuan Agong kami yang mulia," katanya.

Sehingga kini posting tersebut meraih lebih 101,000 tanda suka daripada netizen selain 3,000 perkongsian yang rata-ratanya memuji sikap dan kemesraan Yang di-Pertuan Agong yang berjiwa rakyat.