Pemandu lori jadi tokan dadah ditahan

Iklan
Ahmad Shukri (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM55,600 yang dirampas dalam operasi motosikal di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Selasa.

ALOR SETAR - Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM55,600 yang diletakkan di dalam raga motosikal ditunggangnya dalam operasi di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan pada jam 5.45 petang dalam operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar.

Iklan
Iklan

Menurut Ahmad Shukri, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan menemui 12 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 556 gram yang diletakkan di dalam sebuah beg kertas.

"Polis telah merampas dadah dan motosikal ditunggang lelaki berusia lingkungan 41 tahun itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini pada Rabu.

Iklan

Katanya, semakan mendapati motosikal ditunggang suspek yang berasal dari Kangar, Perlis itu tiada rekod hilang dan kenderaan terbabit didaftarkan atas nama pemilik lain.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek yang merupakan tokan dadah dipercayai memperoleh dadah daripada seorang lelaki di sekitar daerah Alor Setar untuk dijual di Perlis.

Iklan

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine dipercayai tidak membeli bekalan untuk kegunaan sendiri tetapi untuk pasaran di negeri jiran.

Menurutnya, suspek juga memiliki 10 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu hingga 19 Januari dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama," katanya.

Ahmad Shukri (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM55,600 yang dirampas dalam operasi motosikal di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Selasa.