GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang bersedia bersemuka dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di mahkamah untuk mempertahankan hak riparian sumber air.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Sungai Muda bukan milik eksklusif Kedah kerana sebahagian daripada sungai tersebut merupakan 'milik' Pulau Pinang.
Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang akan mempertahankan hak riparian sumber air negeri itu (Penang State Riparian Water Right’s).
"Kita bersedia berjumpa dengan Menteri Besar Kedah di mahkamah sekiranya pihak tersebut ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap isu caj air mentah yang dibangkitkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, fakta jelas menunjukkan bahawa Pulau Pinang berhak untuk mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa pembayaran kepada Kedah yang mana Sungai Muda adalah sungai yang mengalir melalui Kedah dan Pulau Pinang.
"Ia didokumentasikan dalam Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) dan termaktub sebagai akta dalam Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
"Enakmen negeri yang diluluskan oleh Kedah dan Pulau Pinang pada tahun 1985 juga meletakkan sempadan negeri-negeri di sepanjang bahagian tengah garis sungai," katanya.
Sebelum ini, kerajaan Kedah dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.
Kerajaan Kedah turut memberi bayangan akan meminta campur tangan kerajaan Persekutuan jika Pulau Pinang tetap enggan menerima pelawaan untuk berunding.
Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Kedah tetap mahukan bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang dan bukannya bayaran berbentuk sumbangan daripada kerajaan negeri terbabit.
Kedah berhasrat menetapkan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu, namun bersedia berunding dengan kerajaan Pulau Pinang mengenai harga berkenaan.
Baru-baru ini, Kedah menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun sejak tahun 2010 namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu air: Penyelesaian di mahkamah langkah terakhir, kata MB Kedah
Isu air: Pulau Pinang tak akan bayar satu sen kepada Kedah