SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Trending di Twitter berhubung nama daging Harimau Menangis susulan ibu kepada selebriti terkenal, Neelofa mendaftarkan cap dagangan jenama itu sehingga menjadi bualan hangat netizen.
Perniagaan yang diusahakan oleh Noor Khan Enterprise milik Noor Kartini Noor Mohamed itu disifatkan keterlaluan oleh warga maya berikutan sudah ramai menggunakan nama daging Harimau Menangis dalam produk mereka.
Malah, netizen dikenali @AzliAdzif juga memuat naik rakaman video berdurasi 37 saat memaparkan Noor Kartini sedang memasak daging berkenaan selain memberitahu pihaknya sudah mendaftar trademark Harimau Menangis.
"Letaklah harimau beranak ke, harimau kentut ke tapi bukan Harimau Menangis,” katanya dalam rakaman yang telah ditonton lebih 677,200 tontonan sejak Rabu.
Difahamkan, Noor Kartini mendaftarkan cap dagangan Harimau Menangis menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Bagaimanapun, perkara tersebut mendapat kecaman netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan keluarga berasal dari Kelantan itu.
Kata @azrulhaqim,"Nama daging Harimau Menangis ini sudah berzaman orang guna, dekat mak ini terus dia 'trademark' kan nama itu macam dia yang mula nama itu. Business tak business, sekarang musim Covid-19 kot. Ramai 'small business owner' cari makan buat daging ini".
Warga maya kemudian sepakat membuat usul bantahan terhadap tindakan mendaftarkan cap dagangan jenama Harimau Menangis di laman web MyIPO.
@keemmazni telah memuat naik ciapan contoh bantahan cap dagangan tersebut yang mendapat sokongan ramai.
Ada juga netizen menjernihkan keadaan apabila mendakwa Noor Kartini hanya mendaftar logo grafik Harimau Menangis bukannya perkataan tersebut agar tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ujar @shupadupa,"Rasanya nama tu tak boleh trademark, yang boleh trademark cuma stylize version bagi tulisan tu. Macam yang dia letak kat borang myIPO dia. Jadi orang masih boleh guna, cuma bukan versi 'stylize' yang sama. Macam jenama Bo55ku tu".
Menerusi laman web MyIPO, paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu reka cipta sama ada ia adalah satu produk atau satu proses untuk melakukan sesuatu yang baru atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah.
Selain itu, cap dagangan ertinya apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.
Tanda termasuklah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, label, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, urutan gerakan atau apa-apa gabungannya.