HSBC Group mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2021 sebanyak 6.7 peratus berbanding anggaran penguncupan 5.4 peratus pada tahun lepas.
Ketua Bersama Penyelidikan Ekonomi Asia Frederic Neumann berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang dikuatkuasakan dijangka memberikan cabaran ekonomi pada awal tahun ini.
"Bagaimanapun, kami yakin kesan ekonomi akan hilang dengan cepat sepanjang tahun ini,” katanya pada sidang media Prospek Asia HSBC 2021 secara maya di sini pada Rabu.
Di peringkat ASEAN, katanya 2020 merupakan tahun yang sukar yang menyaksikan banyak cabaran di Thailand, Malaysia dan Indonesia berikutan peningkatan jangkitan kes Covid-19.
"Bagaimanapun, kami menjangka pertumbuhan yang kukuh di rantau ini dari suku kedua.
"Pelaksanaan vaksin mungkin memakan masa lebih lama di Asia Tenggara berbanding pasaran maju yang lain dan mungkin menjejaskan pemulihan permintaan domestik dan pelancongan bagi negara-negara seperti Thailand. Bagaimanapun, ASEAN kekal berada di landasan yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata risiko penurunan bagi pertumbuhan ASEAN ialah program vaksinasi tidak dikendalikan tepat pada masanya tetapi pada amnya, risiko adalah agak rendah.
Dalam perkembangan lain, katanya HSBC menjangka satu lagi pengurangan kadar oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini berikutan PKP dan impak ekonomi pada awal tahun.
Mengenai prestasi ringgit, Ketua Penyelidikan FX Global Paul Mackel berkata mata wang tempatan, sejajar dengan mata wang Asia, berdaya tahan dan mempunyai ruang untuk terus mengukuh, dan dijangka mengukuh kepada 3.96 berbanding dolar US pada akhir tahun.
Beliau berkata cabaran yang dihadapi oleh mata wang Asia termasuklah ringgit dilihat hilang manakala harga komoditi yang meningkat secara berperingkat dan aliran portfolio terutamanya dalam aspek pendapatan tetap akan membantu menyokong prestasi mata wang.
Ketua Penyelidikan Kadar EM Global Andre de Silva berkongsi bahawa Malaysia antara pasaran utama yang menjadi pilihan dalam aspek pendapatan tetap di luar China.
Beliau berkata aliran portfolio yang bermula tahun lepas dapat memacu gabungan hasil sebenar, prospek pelonggaran dan pertimbangan pengindeksan, yang positif bagi Malaysia.
Mengenai pasaran ekuiti, Ketua Strategi Ekuiti Asia Pasifik Herald van der Linde berkata Bursa Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan sebanyak lapan peratus kepada paras 1,780 pada tahun ini.
"Lazimnya, kami akan menganggap Malaysia sebagai pasaran yang defensif berikutan sering terdapat permintaan yang baik di peringkat tempatan tanpa turun naik dalam penilaian. Ini adalah pasaran yang anda mahu pendedahan dari segi defensif,” katanya.
Beliau berkata ini, bagaimanapun, telah berubah kepada tahap tertentu berikutan prestasi luar biasa pengeluar sarung tangan menjadikan Malaysia sebagai pasaran ekuiti ASEAN yang mencatatkan prestasi terbaik.
"Penilaian di Malaysia pada masa ini sejajar dengan purata lima tahun sebanyak 16.4 kali pendapatan harga (nisbah). Kami menjangka kenaikan sebanyak lapan peratus bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI yang dijangka naik kepada 1,780 pada akhir tahun ini,” kata van der Linde.
Beliau turut menekankan penyertaan runcit yang besar di rantau Asia dalam pasaran ekuiti pada 2020 berterusan hingga 2021.
"Penyertaan runcit tempatan yang mendorong pasaran Asia lebih tinggi dan tidak begitu banyak aliran dana asing," katanya. - Bernama