SEREMBAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mempertimbangkan semula tarikh permulaan sesi persekolahan pada 20 Januari ini bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya berpendapat sesi persekolahan sewajarnya bermula selepas selesai pelaksanaan PKPB iaitu pada 26 Januari atau awal Februari di seluruh negara.
"Langkah ini bersesuaian dengan matlamat pelaksanaan PKPB dalam tempoh 14 hari iaitu bagi mencegah penularan wabak Covid-19. Sepatutnya diselesaikan dahulu PKPB dan melihat bagaimana perkembangannya.
"Sekiranya sesi persekolahan bermula pada tempoh PKPB iaitu pada 20 haribulan, orang ramai akan keluar menghantar dan mengambil anak masing-masing.
"Walaupun adanya prosedur operasi standard (SOP) namun kita harap ia diberi perhatian. Biarlah bermula selepas 26 Januari atau awal bulan depan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini pada Rabu.
Sementara itu beliau berkata, penguatkuasaan PKPB di Negeri Sembilan yang bermula pada Rabu masih melibatkan SOP PKPB yang sama seperti dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini kecuali beberapa perkara.
"Antaranya majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta, majlis sosial seperti kenduri, majlis perkahwinan, pertunangan, resepsi, akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial adalah tidak dibenarkan.
"Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dan dijalankan secara individu dengan syarat tidak melebihi 10 orang seperti berjalan, joging, berbasikal, golf dan lain-lain di dalam kawasan PKPB adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP sektor sukan dan rekreasi.
"Sektor pendidikan melibatkan sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta, Institut Latihan Kemahiran, Pusat Tahfiz, Pusat Tuisyen, Pusat Bahasa, Pusat Kemahiran, Pusat Perkembangan Minda, Pusat Bimbingan dan institusi pendidikan lain dibenarkan dibuka selaras dengan Garis Panduan Pengoperasian Institusi Pendidikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya.