Swasta diminta bersama kerajaan bantu golongan B40

Iklan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bantuan Bencana Negara (Kebakaran) di Putatan dekat sini hari ini. - Foto Bernama

KOTA BELUD - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap lebih banyak pihak swasta berganding bahu dengan kerajaan dalam membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka boleh menggunakan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk tujuan itu secara berterusan dari semasa ke semasa.

Iklan
Iklan

"Ia sejajar dengan komitmen kerajaan untuk sentiasa memastikan kebajikan warga B40 ini terbela kerana kita tidak mahu ada segmen yang tercicir dalam arus pembangunan negara," katanya ketika menyempurnakan majlis penyerahan Kompleks Bangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Nur Taqwa-Sri Mulia dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar keluarga golongan B40 sekolah agama rakyat berkenaan yang beroperasi di Kampung Rampayan Laut.

Iklan

Dr Wan Azizah mengambil contoh pembinaan bangunan baharu Kompleks SAR Nur Taqwa-Sri Mulia yang siap pada 2016 melalui peruntukan kerajaan pusat dan inisiatif penubuhan sekolah itu digerakkan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata penubuhan sekolah itu dapat membantu anak-anak agar dapat mendalami pendidikan agama khususnya di daerah Kota Belud.

Iklan

"Saya juga kagum dengan usaha pelbagai pihak dalam menjayakan projek ini termasuk gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh bekerjasama dengan baik dan seia sekata dalam menguruskan sekolah ini," katanya.

Justeru, beliau berpesan kepada gabungan NGO itu untuk menghargai amanah yang diberi dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi agar hasilnya nanti dapat dirasai seluruh ummah khasnya di Kota Belud.

Lembaga SAR Nur Taqwa-Sri Mulia hari ini menyerahkan kompleks yang lengkap dengan dewan terbuka, dewan futsal dan padang terbuka kepada gabungan NGO terdiri daripada Persatuan Rumah Anak Yatim Nur Taqwa Kota Belud, Pertubuhan Wadah Percerdasan Ummah (WADAH) dan Persatuan Inisiatif Untuk Generasi (IFG).

Kompleks SAR itu yang mula beroperasi sejak 1 Feb lepas, mempunyai 186 murid dari Tahun Satu hingga Tahun Lima.

Pada awal penubuhannya pada 2001, sekolah berkenaan beroperasi di bangunan lama di Kampung Payu Putih. - Bernama