SEMALAM, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula di enam negeri termasuk Sabah selepas 302 hari PKP 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac tahun lepas.
Rakyat memang sudah menjangka kerana desas-desus mengenainya sudah kedengaran sejak minggu lalu walaupun cuba dinafikan kerajaan.
PKP Bersyarat (PKPB) pula dikenakan ke atas enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala bagi negeri Perlis dan Sarawak dikenakan PKP Pemulihan (PKPP).
Sepanjang 302 hari itu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah gagal menyampaikan pengumuman terbaharu, apa yang boleh, larangan dan nasihat kepada rakyat agar mematuhi undang-undang.
Memang keadaan wabak di Malaysia sekarang ini begitu mendadak kenaikannya. Peningkatan kes bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di kebanyakan negara di dunia.
Lebih mencemaskan, PKP kali ini berserta sekali dengan pengumuman darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Sememangnya mengejutkan kerana ia dibuat tidak sampai 24 jam selepas pengumuman PKP. Perkataan darurat itu sendiri bunyinya amat menggerunkan. Tetapi kita perlu menerimanya kerana tiada jalan mudah atau paling tepat dalam menguruskan pandemik ketika ini.
Fasiliti di hospital sudah tidak lagi dapat menampung 2,000 kes sehari. Pada Selasa, kes harian Covid-19 mencatatkan angka tertinggi iaitu 3,309 kes. Pada hari pertama PKP dan darurat dilaksanakan semalam, sebanyak 2,985 kes dilaporkan. Masih tinggi.
Angka ini tidak akan menunjukkan trend berkurangan sekiranya tidak ada tindakan luar biasa oleh kerajaan. Kasihanilah para frontliners yang bertungkus-lumus tanpa mengira siang dan malam.
PKP dan darurat yang dilaksanakan bukan untuk menghapuskan terus Covid-19 tetapi untuk mengawal jangkitannya. Buat masa sekarang, ia adalah langkah proaktif untuk mengekang penularan Covid-19 daripada terus meningkat.
Malah, ia sekali gus menghentikan sementara konflik politik.Sepanjang darurat, pilihan raya umum (PRU) mahupun pilihan raya kecil tidak akan diadakan. Parlimen dan sidang Dewan Undangan Negeri juga ditangguhkan.
Yang bergaduh hal darurat ini orang politik, yang mendakwa darurat untuk selamatkan politik Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga orang politik.
Nampaknya darurat telah menggagalkan Plan A yang diatur oleh orang politik, mereka terpaksa fikir plan B atau tunggu sehingga 1 Ogos depan untuk plan C.
Itupun sekiranya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati pandemik Covid-19 dapat dikawal dengan berkesan. Seri Paduka Baginda mempunyai hak untuk memperkenankan selama mana tempoh darurat itu dilaksanakan.
Tatkala membaca status atau komen di media sosial, ramai yang berharap agar orang politik tidak bermain politik berlebih-lebih masa ini.
Malah ada yang menyarankan ahli politik agar bercuti daripada berpolitik sepanjang tempoh darurat ini, sekali gus memberi peluang kepada usaha-usaha memerangi Covid-19.
Bagi rakyat, keselamatan lebih penting. Rakyat biasa tanpa PhD hendak tahu macam mana mereka boleh teruskan kelangsungan hidup kerana ketika PKP 1.0, ramai yang terkesan.
"Darurat ni patut untuk orang politik, bukan rakyat!” kata kenalan saya, Encik Ismail yang agak panik memborong barang-barang keperluan di sebuah kedai runcit di Shah Alam pada Selasa.
Saya yakin, bukan Encik Ismail saja, ramai lagi yang panik apabila darurat diumumkan. Sudahlah PKP, darurat pula. Masing-masing berfikir mengenai soal kelangsungan hidup.
Sebagai rakyat biasa tanpa PhD, saya menyokong pelaksanaan PKP dan darurat. Walaupun ada yang tidak bersetuju, ia adalah langkah terbaik setakat ini sehinggalah kita menerima bekalan vaksin pada suku pertama tahun ini.
Jadi tak perlulah bergaduh lagi mengenai darurat. Dalam keadaan sekarang, kita perlu duduk di rumah dan patuhi SOP yang telah ditetapkan sehinggalah vaksin tiba. Yakinlah kita boleh menang!