KAMPALA, Uganda - Pilihan raya umum Uganda akan diadakan pada Khamis ini bagi memilih Presiden dan wakil-wakil rakyat di peringkat Parlimen negara itu ketika dunia diancam dengan pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih lagi belum reda.
Bagaimanapun, menurut portal berita African News, sehingga 11 Januari lalu, kes keseluruhan Covid-19 di negara itu ialah 37,848 dan angka kematian akibat pandemik tersebut adalah melibatkan seramai 303 orang.
Dalam pilihan raya itu, Presiden Yoweri Museveni yang berusia 76 tahun dan sebelum ini membantu menggulingkan diktator Idi Amin yang juga bekas pegawai tentera selain terkenal dengan gelaran sebagai 'penyembelih Uganda' pada tahun 1979.
Museveni yang menjadi menjadi pemimpin negara tersebut sejak 1986 turut bertanding bagi mempertahankan jawatannya bagi menentang salah seorang calon dalam pilihan raya Presiden iaitu seorang wakil rakyat yang juga seorang bekas penyanyi berumur kira-kira separuh daripada usianya iaitu Bobi Wine.
Museveni merupakan antara pemimpin paling lama berkuasa di dunia dan memerintah negara itu setelah memenangi perang gerila bagi menentang rejim Presiden Milton Obote yang didakwa telah memanipulasi pilihan raya Presiden.
Museveni yang mengetuai kumpulan bersenjata Pergerakan Tentangan Kebangsaan (NRM) dan berjaya menyingkirkan Obote sekali gus mengisytiharkan diri sebagai Presiden Uganda pada 26 Januari 1986 sebelum dipilih memegang jawatan itu pada 9 Mei 1996.
Beliau yang telah bertanding untuk merebut jawatan Presiden negara tersebut sejak tahun 1980 dan mempunyai ijazah sarjana muda ekonomi serta sains politik di Universiti Dar Es Salaam, Tanzania terpaksa menghadapi tentangan daripada 10 pencabarnya termasuk Wine dalam pilihan raya Presiden.
Wine atau nama sebenarnya Robert Kyagulanyi Ssentamu berumur 38 tahun dan meninggalkan kerjaya nyanyian untuk menceburi bidang politik serta mempunyai ramai pengikut dalam kalangan golongan muda yang mana 80 peratus penduduknya berusia kurang daripada 30 tahun.
Menurut BBC, Wine selalu dirujuk sebagai 'Presiden Geto" iaitu ketua untuk satu kumpulan penduduk yang miskin di kawasan bandar dan menjadi seorang penyanyi terkenal di Afrika Timur pada awal tahun 2000 sebelum menceburi kerjaya politik dan memenangi kerusi Parlimen pada tahun 2017.
Beliau pernah ditangkap beberapa kali oleh pihak berkuasa sejak tahun 2018 kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan di sisi undang-undang antaranya didakwa melanggar garis panduan kempen pilihan raya yang tidak membenarkan lebih 200 penyokong dalam satu perhimpunan bagi mengekang penularan Covid-19 pada November tahun lalu.
Wine juga pernah menjadi terkenal dengan irama pop, hip hop dan reggae.
Ahli Parlimen itu pernah popular dengan lagu seperti 'Rise Up and Freedom' yang meluahkan tentang rasuah dan meminta satu perubahan dilakukan dan mendakwa pernah diseksa ketika ditahan di dalam penjara.
Wine yang telah didakwa melakukan pengkhianatan oleh kerajaan di sebuah mahkamah awam pada tahun 2018 tetapi ia tidak mengganggu kempen pilihan raya Presidennya dan merupakan pemimpin Platform Kesatuan Kebangsaan.
Sebelum ini, pergerakannya dikenali sebagai Kuasa Rakyat yang mana anggota-anggotanya memakai topi beret berwarna merah sehingga kerajaan bertindak mengharamkannya pada tahun 2019.
"Pemerintah diktator berada dalam keadaan panik. Mereka terkejut dengan keghairahan dan sokongan yang kami terima dari seluruh bahagian negara ini," kata Wine seperti dilaporkan oleh AFP.
Beliau didapati memakai jaket kalis peluru dan topi yang digunakan dalam pertempuran semasa kempen pilihan raya Presiden yang mana majlis seumpama itu kerap diakhiri dengan tembakan gas pemedih mata dan tembakan peluru hidup.
Tanda pagarnya #WeAreRemovingDictator di Twitter yang bermaksud dalam bahasa Melayu 'kami menyingkirkan diktator' telah merebak di media sosial dalam kalangan para penyokongnya dalam pergerakan Platform Kesatuan Kebangsaan.
Pilihan raya Uganda kerap dicemari dengan dakwaan telah dimanipulasi dan negara berkenaan pernah mengalami isu peralihan jawatan Presiden secara tidak aman sejak ia merdeka dari Britain pada tahun 1962.
Ekonomi Uganda pula berkembang pesat pada tahun 1990an ketika Museveni melakukan perubahan dan beliau berjaya membendung penyakit HIV/Aids dan mengurangkan kemiskinan tetapi pendirian moralnya dipersoalkan apabila negara itu dan Rwanda menceroboh Republik Congo lewat tahun 1990an.
Tentera Uganda menceroboh Congo bagi membantu menyingkirkan Mobutu Sese Seko yang ketika itu merupakan Presiden Zaire iaitu nama lama bagi Congo.
Bagaimananapun, tentera Uganda sekali lagi membantu para pemberontak bagi menyingkirkan pula Presiden Republik Congo, Laurent Kabila.
Tentera Uganda dan Zaire kemudian didakwa di The Hague, Belanda kerana menjarah sumber-sumber Congo, membunuh dan menyeksa orang awam dan menggunakan askar kanak-kanak.
Dalam pada itu, wartawan-wartawan yang membuat liputan kempen pilihan raya pembangkang di negara itu telah diserang, pengkritik kerajaan dipenjara dan para pemantau piihan raya didakwa sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang ketelusan proses pilihan raya di negara tersebut.
Pertumpahan darah terutamanya kematian kira-kira lebih 40 orang orang dalam tempoh dua hari protes menentang penangkapan Wine kerana melanggar garis panduan tentang Covid-19 itu pada November tahun lalu mendapat kritikan dari luar negara dan menyebabkan Museveni menghadapi tekanan bagi memastikan pilihan raya yang adil serta bebas dapat diadakan di Uganda. - Agensi