Foden sifatkan City sudah mula temui ‘rentak kemenangan’

Iklan
Foden mengawal bola melepasi pertahanan Brighton
PEMAIN Machester City, Phil Foden menyifatkan skuad The Citizen itu sudah mula menemui ‘rentak kemenangan’mereka hasil kemenangan 1-0 menewaskan Brighton di Etihad pada awal pagi Khamis.

Menurut Foden, kemenangan berkenaan turut meneruskan rentetan kemenangan City dalam 14 perlawanan setakat ini dalam semua pertandingan.

Justeru katanya, City kini akan kembali pada prestasi terbaik mereka setelah mengharungi kesukaran pada awal musim ini.

"Kami sebenarnya mampu melakukan lebih pada perlawanan ini, tetapi kemenangan ini sudah cukup memadai dan saya sangat gembira dengan kesebelasan pemain yang beraksi hari ini.

"Pastinya kemenangan ini menjadikan kami merasakan bahawa kami telah kembali pada tahap terbaik kami dan kami juga semakin yakin hasil daripada beberapa keputusan baik yang kami perolehi sebelum ini.

"Saya juga gembira kerana berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan dan selepas ini kami berazam untuk meneruskan rentak kemenangan ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan Foden menjaringkan gol pada minit ke-44 dan sekali gus menyaksikan City kini berada pada kedudukan ketiga dengan 32 mata hasil sembilan kemenangan, lima seri dan tewas dua kali daripada 16 perlawanan.

Sementara itu pengendali City, Pep Guardiola berkata, Foden sebagai seorang pemain yang pintar dalam bola sepak.

Katanya, pemain berusia 20 tahun itu juga berkebolehan untuk beraksi di kedua-dua belah bahagian (kiri dan kanan) dan ia memberikan sedikit kelebihan buat pasukan.

"Dia masih muda, tetapi lihat sahaja rekodnya setakat ini, khususnya dari segi assitsnya setakat ini berbanding dengan pemain-pemain ‘bintang’ yang lain.

"Selain itu, dia juga bijak bertindak di depan pintu gol lawan; dan disebabkan faktor itulah dia berhak beraksi untuk kami,” katanya.