JOHOR BAHRU - Hanya 27 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di lima daerah di negeri ini setakat jam 12 tengah hari pada Khamis.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu menunjukkan pengurangan tiga PPS melibatkan Sekolah Agama Desa Mahkota di Kota Tinggi yang ditutup pada jam 9 pagi.
Selain itu katanya, dua lagi PPS adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan Dewan Raya Sungai di Ulu Tiram di daerah ini yang masing-masing ditutup pada jam 10 pagi.
Dalam pada itu, Vidyananthan turut memaklumkan perkembangan terkini mangsa banjir di Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat dan Mersing berjumlah 2,752 orang daripada 756 keluarga.
"Jumlah ini berkurangan sedikit berbanding 2,943 orang daripada 812 keluarga setakat jam 8 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, daerah paling terjejas teruk masih lagi di Kota Tinggi yang menempatkan 2,079 orang daripada 550 keluarga di 21 PPS.
Selain itu, beliau berkata, hanya Jalan Kota Tinggi-Kluang di Taman Sri Impian, Mersing yang masih ditutup untuk semua kenderaan kerana berlaku tanah runtuh.
ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa banjir di Johor berkurangan