Anggota tentera cedera, motosikal dirempuh babi hutan

Iklan
Mangsa cedera pada bahagian dahi dan kening. Pegawai perubatan melihat kecederaan dialami mangsa. - Foto Facebook Gopi Taman

PORT DICKSON - Seorang anggota tentera menerima 13 jahitan pada bahagian kening selepas motosikal ditunggangnya dirempuh seekor babi hutan di Batu 6, Jalan Pantai Teluk Kemang di sini, pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu berlaku ketika anggota berusia 31 tahun tersebut dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Sunggala di sini.

Iklan
Iklan

Saksi kejadian, R Gopi Krishnan, 49, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumah ketika melihat seekor babi hutan meluru berlari ke tengah jalan raya sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

"Babi itu sangat besar dan merempuh motosikal mangsa. Akibatnya mangsa terjatuh dan saya memberhentikan kenderaan untuk membantunya. Orang ramai yang ada di lokasi turut membantu mangsa dan menghubungi ambulans," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan
Orang ramai cuba membantu mangsa. - Foto Facebook Gopi Taman

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut kerana kecederaan dialami pada bahagian dahi dan kening.

Katanya, mangsa memberitahu keadaannya baik namun terpaksa menerima 13 jahitan pada bahagian kening.

Iklan

Sementara itu kata Gopi Krishnan, kehadiran babi hutan di kawasan berkenaan bukan perkara baharu dan ada penduduk yang telah membuat aduan kepada pihak berwajib.

"Bila saya kongsi kejadian ini di Facebook, rama juga netizen yang turut berkongsi perkara sama dan beritahu terdapat banyak babi hutan berkeliaran sejak kebelakangan ini. Saya harap ada tindakan diambil kerana tidak mahu kejadian sama berulang," katanya.