SHAH ALAM - Prinsip Tabayyun iaitu sikap semak atau periksa sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum sebar perlu diamalkan setiap pengguna apabila menerima sesuatu maklumat di laman media sosial.
Penganalisis politik dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sarah Chinnasamy berkata, pada masa ini banyak maklumat dikongsikan oleh pengguna media sosial sehingga tular, namun pada akhirnya maklumat itu didapati bukan sahaja palsu malah mengelirukan.
"Berita-berita palsu ini juga boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara. Menyemak kesahihan berita adalah sangat penting sebelum menyebarkannya, pastikan ia daripada sumber yang diyakini sahih.
"Menyebarkan berita palsu dan fitnah amat mudah tetapi bila kita tahu silapnya kemudian, maka sukar bagi kita untuk mengesan punca, menjangka penyebarannya dan bagaimana hendak menghentikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran siri ke-63 bertajuk ‘Kerajaan netizen: Boleh percayakah? yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Program itu turut menampilkan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai panelis, manakala Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Hujurat, ayat enam dan surah An-Nisa ayat 83.
Menurutnya, konsep kesederhanaan dalam menyampaikan maklumat atau berita dalam media sosial perlu dititikberatkan.
"Kita tidak dapat elakkan kewujudan jabatan netizen disebabkan perkembangan pesat teknologi dan 90 peratus rakyat di negara kita menggunakan internet. Ini memberi ruang kepada mereka untuk mengeluarkan segala jenis pandangan.
"Netizen ini membantu viralkan sesuatu isu yang mungkin lambat diberi perhatian oleh pihak berwajib tetapi dengan adanya mereka ini, ia akan dapat diselesaikan.
"Bagaimanapun, netizen juga diingatkan jangan terlalu radikal ketika mengeluarkan atau memberikan pandangan. Jangan guna unsur provokasi, kecaman atau fitnah sehingga boleh menjejaskan reputasi pihak lain,” katanya.
Sarah berkata, netizen juga digesa tidak menyebarkan sebarang isu berkaitan 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja di laman sosial agar ia tidak mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman negara.
"Penyebaran maklumat perlu ada limitasi (had) dan jangan melangkaui batas. Jangan sesekali menyentuh isu 3R kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara.
"Sebaliknya jabatan netizen ini perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah atau isu yang ada bagi membina negara ke arah lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, masyarakat dinasihatkan supaya memeriksa kesahihan sumber dan status terlebih dahulu sebelum menyebarkan kepada orang lain.
"Berita palsu kini semakin tersebar dan berleluasa di media sosial. Jadi semua syarikat media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan sebagainya kini sedang giat mengenal pasti sumber maklumat yang dikongsi di lama sosial terbabit.
"Orang ramai perlu memastikan maklumat diperoleh dari sumber yang tepat dan boleh dipercayai seperti agensi kerajaan, kementerian dan media arus perdana.
"Dalam pada itu, semua jabatan atau agensi kerajaan terlibat perlu mempergiatkan usaha untuk mengekang aktiviti tidak bertanggungjawab ini. Mereka perlu bertindak efektif dan cepat agar orang ramai tidak mudah percaya dengan penularan berita palsu ini," katanya.