KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor menyatakan komitmen bagi membantu peniaga-peniaga bazar larut malam Uptown Puchong Permai yang hilang punca pencarian pendapatan ekoran kejadian kebakaran yang memusnahkan 200 unit premis perniagaan di situ pada Sabtu lalu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau kini dalam proses pertemuan bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi mengatur tindakan sewajarnya dalam usaha menyalurkan bantuan berkenaan.
Menurutnya, segala bentuk perancangan lanjut berkaitan tapak perniagaan itu juga akan diputuskan kemudian.
"Saya sedang uruskan (bantuan) dengan MPSJ dan Insya-ALLAH pada Selasa kita akan umumkan bantuan, sokongan dan langkah-langkah membantu peniaga-peniaga yang saya tahu mereka berdepan dengan kesusahan daripada kebakaran yang berlaku.
"Soal perancangan pembangunan atas tapak itu, kita akan lihat dari segi kedudukan tanah sesuai atau tidak..sesuai atau tidak ia harus dinilai, sebab itu saya kena dapatkan dengan MPSJ," katanya kepada pemberita hari ini.
Ditanya adakah kemungkinan peniaga akan ditempatkan semula di lokasi lain, beliau bagaimanapun berkata perkara itu belum boleh diputuskan sehingga laporan lengkap diterima dari MPSJ
"Semua MPSJ akan uruskan," katanya.
Sabtu lalu, kira-kira 200 lot kedai bazar larut malam, Uptown Puchong Permai, di Jalan Puchong Permai musnah dalam satu kebakaran dengan nilai kerugian dianggar mencecah RM1 juta.