Yakin kelebihan berpihak kepada PH

Iklan
Halimaton Shaadiah

ALOR SETAR - Srikandi Bersatu Kedah yakin PRK Semenyih akan memihak kepada PH, susulan penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor mempunyai rekod baik di kawasan terbabit.

Ketuanya, Halimaton Shaadiah Saad berkata, biarpun calon mewakili Bersatu belum diumumkan, dan diuar-uarkan terdapat lapan calon disenarai pendek, semua pihak harus berlapang dada menerima calon yang dimuktamadkan kelak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun Srikandi turut mengemukakan dua individu berwibawa untuk diletakkan sebagai calon, pihaknya akur sekiranya calon bukan daripada sayap wanita itu.

"Siapa pun yang dipilih sebagai calon, diharap kita semua bersatu hati dan beri komitmen terbaik membantu untuk menangkan calon itu, atas kesepakatan untuk kita kekalkan kemenangan PH di kerusi Semenyih,” katanya.

Iklan

Halimaton Shaadiah yang juga ketua perayu undi dan culaan wanita bagi PRK Semenyih berkata, kelebihan lain yang dilihat lebih memihak kepada PH adalah Selangor ditadbir PH dan ini memudahkan gerak kerja kempen.

"Situasi berbeza dengan PRK Cameron Highlands sebelum ini, yang mana diketahui ia kubu kuat Umno, kita harus lebih yakin untuk raih sokongan rakyat,” katanya.

Iklan

Katanya, difahamkan semua janji-janji yang dibuat sebelum PRU14 sebahagiannya berjaya ditunaikan Allahyarham, malah Allahyarham seorang yang disenangi penduduk setempat.

"Daripada maklum balas, ADUN sebelum ini menjaga pengundi dengan baik, kita akan teruskan usaha yang Allahyarham belum sempat tunaikan,” katanya.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan, itu berkata, beliau diberikan mandat untuk melakukan bancian serta sikap pengundi di Semenyih mewakili Srikandi Malaysia dan ia bukan tugas yang mudah.

"Kami akan turun ke lapangan minggu depan, walaupun ia tugas berat namun akan kami laksana sebaik mungkin dan mohon semua pihak berganding bahu bagi mengekalkan kemenangan Bersatu di situ,” katanya.

Kerusi Dun Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan S Arutchelvan (Parti Sosialis Malaysia), Johan Abdul Aziz (BN), dan Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas).

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac sebagai tarikh PRK Dun Semenyih manakala hari penamaan calon pada 16 Februari.