Polis rungkai penemuan senjata api di Sungai Skudai

Iklan
Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan gambar operasi pencarian senjata api di dalam Sungai Skudai pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Polis tidak menolak kemungkinan penemuan sejumlah senjata api dan pelbagai jenis peluru di Sungai Skudai pada 1 Januari lalu mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, susulan penemuan itu, seramai 20 suspek ditahan terdiri daripada 13 lelaki warga ndonesia dan tujuh lelaki tempatan termasuk seorang pengurus syarikat peralatan perkhemahan berumur 38 tahun yang merupakan anak kepada seorang individu bergelar Datuk.

Iklan
Iklan

"Penemuan senjata api dan peluru ini merupakan rentetan tangkapan seorang pengurus syarikat keselamatan yang merupakan adik kepada pengurus syarikat peralatan perkhemahan tersebut pada Oktober lalu.

"Mungkin selepas suspek pertama ditangkap, mereka bertindak melupuskan senjata api ini dengan membuang ke dalam sungai. Operasi menyelam masih dijalankan oleh Pasukan Polis Marin dan hari ini (Khamis) satu lagi senjata api airsoft ditemui," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Iklan

Menurut Ayob Khan, setakat ini pihaknya telah menemui sepucuk pistol separa automatik, tujuh laras senjata api pelbagai jenis, kira-kira 6,000 butir peluru hidup pelbagai jenis, lima butir peluru jenis 0.22 serta komponen senjata api airsoft.

Senjata api air soft yang ditemui di dalam Sungai Skudai.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh pegawai persenjataan IPK Johor terhadap senjata api yang ditemui itu, hanya satu senjata yang tulen iaitu sepucuk pistol dan yang lain hanyalah jenis airsoft menyerupai senjata tulen.

Iklan

"Syarikat keselamatan itu mempunyai lesen untuk menyimpan senjata api. Mungkin ini cuma diperoleh dengan cara salah yang mereka simpan.

"Samaran mereka cantik, mungkin mereka beranggapan tidak ada yang akan datang mẹmbuat pemeriksaan," katanya.

Sepucuk pistol separa automatik yang ditemui di dalam Sungai Skudai.

Menurut beliau, tiga suspek melibatkan seorang pengurus syarikat peralatan perkhemahan dan dua orang suspek dituduh di mahkamah di sini baru-baru ini di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, seorang anggota polis telah ditahan kerana dipercayai menularkan laporan polis berhubung kejadian penemuan senjata api itu di akuan Facebook miliknya, mengikut Seksyen 203 A (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak menularkan laporan polis ke laman sosial semata-mata hendak dapatkan perhatian.

Terdahulu, Sinar Harian pada 8 Januari lalu melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat motif pemilikan sejumlah komponen senjata api termasuk raifal oleh sekumpulan suspek yang ditahan dalam serbuan di Johor Bahru pada 1 Januari lalu.