Gagal ketepi kebenaran Peguam Negara mulakan prosiding komital

Iklan
Lokman Noor Adam

PUTRAJAYA - Bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam gagal dalam usaha terakhirnya untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadapnya.

Ini berikutan rayuannya ditolak Mahkamah Persekutuan pada Khamis.

Iklan
Iklan

Peguam Negara mendapat kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Lokman atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menolak rayuan Lokman, memutuskan bahawa notis tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Lokman dan mahkamah mendapati responden (pendakwa raya) mematuhi Perintah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Iklan

Beliau berkata, notis tunjuk sebab tidak perlu dikeluarkan oleh mahkamah tetapi oleh mana-mana pihak yang memohon mahkamah untuk proses penghinaan.

Kenyataan dan afidavit sokongan oleh responden mencukupi untuk memaklumkan Lokman mengenai dakwaan penghinaan yang perlu dijawab, katanya.

Iklan

"Melihat kenyataan dan afidavit sokongan secara keseluruhan, kami tidak mendapati bahawa ada prasangka terhadap perayu (Lokman)," kata Tengku Maimun.

Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim mendengar rayuan Lokman melalui aplikasi Zoom.

Berikutan keputusan yang dibuat itu, Lokman perlu menjawab pertuduhan menghina mahkamah di Mahkamah Tinggi.

Kesnya ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 27 Januari ini.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi pada 2019 untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 September tahun yang sama.

Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dengan memohon supaya responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Prosiding komital terhadap Lokman itu atas dakwaan beliau mengugut saksi kes berkaitan 1MDB, iaitu bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Menurut Tommy, pada 25 September 2019, Lokman dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan, berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

Menurut Tommy, objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan itu.

Pada 14 Januari 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan perintah ex-parte Peguam Negara untuk kebenaran bagi memulakan prosiding berkenaan.

Lokman juga gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang menolaknya pada Mei tahun lepas.

Dalam prosiding hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman berhujah bahawa terdapat kekurangan dalam notis tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pula berhujah bahawa tuduhan yang dihadapi Lokman adalah menggangu saksi dan campur tangan pentadbiran keadilan yang merupakan penghinaan serius terhadap mahkamah. - Bernama