MELAKA - Tiga lelaki ditahan berhubung penemuan mayat di tempat duduk belakang sebuah kereta dipercayai berkaitan kes samun di sebuah kedai serbaneka pada awal bulan ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, lelaki berusia 38 tahun berkenaan dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemukan orang awam dalam sebuah kereta jenis Proton Perdana di parkir Rumah Pangsa Batu Berendam di sini pada 7 Januari lalu.
Menurut Abdul Majid, mayat mangsa diletakkan dalam keadaan tertiarap dan ditutup dengan kain putih di tempat duduk belakang kereta milik isterinya selepas mangsa dipercayai dibunuh dalam sebuah rumah milik suspek utama.
Menurutnya, ekoran penemuan mayat itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek pertama berusia 39 tahun kira-kira jam 10 malam di rumahnya di rumah pangsa berkenaan pada hari sama.
"Semasa ditahan dia didapati positif dadah dan mengaku dua rakan sejenayahnya yang lain terlibat dalam kes pembunuhan tersebut. Kemudian dua lelaki berusia 34 dan 32 tahun diberkas di Ipoh.
"Motif awal pergaduhan dipercayai disebabkan tidak puas hati selepas mereka menyamun kedai serbaneka di Kota Laksmana pada 4 Januari lalu," katanya ketika sidang akhbar di IPK, Bukit Beruang, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, berdasarkan keadaan fizikal mayat, mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat hentakan kuat di kepala serta mempunyai kesan tikaman di perut dan leher.
"Kita percaya mangsa dibunuh di rumah suspek pertama di pangsapuri berkenaan kerana terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan. Mayatnya diangkat dan diletakkan ke dalam kereta milik isteri mangsa," katanya.
Tambah beliau, dalam tangkapan tersebut pihaknya turut merampas beberapa senjata seperti parang dipercayai digunakan oleh suspek dalam pembunuhan tersebut.
Menurutnya, dalam pada itu pemeriksaan rakaman litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka mendapati kesemua suspek terlibat dan mereka dipercayai aktif melakukan jenayah sejak dua bulan lalu dengan modus operandi membawa satu parang panjang ke kaunter sebelum membuat ugutan.
"Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan," katanya.