Pahang tak benar aktiviti hiburan sepanjang PKPB

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Aktiviti hiburan termasuk kelab malam, pub, taman tema, panggung wayang, konsert atau acara langsung dengan kehadiran penonton tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini yang berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu turut terpakai bagi aktiviti seminar, bengkel, persidangan, pameran dan perhimpunan kecuali latihan dalam perkhidmatan yang sedang berlangsung hanya boleh dilaksanakan dalam kawasan institusi latihan serta perlu ditamatkan sebelum penghujung Januari ini.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta serta majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan, pertunangan, resepsi dan majlis-majlis sosial lain juga tidak dibenarkan.

Menurutnya, turut tidak dibenarkan semua aktiviti sukan dan rekreasi melibatkan sentuhan, membabitkan orang ramai dan sukar dikawal penjarakkan fizikal termasuk acara serta pertandingan sukan dengan kehadiran penonton dan penglibatan peserta luar negara.

Iklan

"Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancong asing juga tidak benarkan," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, bagi premis yang dibenarkan beroperasi perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan waktu operasi bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam.

Iklan

"Majikan perlu memastikan pekerja bebas daripada simptom-simptom Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja.

"Bagi premis yang mempunyai 10 pekerja ke atas perlu menubuhkan Jawatankuasa Tindak Balas Kecemasan," katanya.

Tambah beliau, semua kilang dibenarkan beroperasi sebagaimana kelulusan lesen namun hanya 30 peratus pekerja kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat.

"Turut dibenarkan beroperasi medan selera termasuk dalam pusat membeli belah, kendera saji (bungkus), kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, Lebuh Raya Pantai Timur 1 dan 2 namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Waktu operasi stesen minyak hanya dibenarkan bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam kecuali pengoperasian stesen minyak di lebuh raya yang dibenarkan beroperasi 24 jam (tertakluk pada syarat lesen perniagaan)," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, pasar awam, pasar harian, pasar borong, pasar tani dan pasar malam dibenarkan beroperasi mengikut lesen sehingga jam 12 tengah malam dan hanya seorang pelanggan dibenarkan di setiap gerai pada satu-satu masa.

Katanya, aktiviti masjid,surau dan rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dengan had kehadiran jemaah seperti yang ditetapkan.

"Upacara pernikahan (akad nikah) bagi orang Islam dibenarkan dengan kehadiran maksimum lapan orang sahaja dan hanya dibenarkan untuk dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah dalam negeri Pahang sahaja.

"Bagi upacara perkahwinan bukan Islam turut dibenarkan dengan kehadiran maksimum lapan orang sahaja sama ada di Jabatan Pendaftaran Negara, rumah ibadat dan premis persatuan agama bukan Islam.

"Sambutan perayaan Thaipusam bagi tahun ini di Pahang dibatalkan," katanya.