Ibu Neelofa mohon maaf, batal permohonan cap dagang Harimau Menangis

Iklan
Noor Kartini mengambil keputusan membatalkan permohonan cap dagang bagi jenama 'Harimau Menangis'. - Foto Instagram Noor Kartini

KUALA LUMPUR - Ibu kepada pengacara terkenal, Neelofa Mohd Noor, Datin Noor Kartini Noor Mohamed mengambil keputusan untuk membatalkan permohonan cap dagang bagi jenama 'Harimau Menangis'.

Pemilik syarikat Noor Khan Enterprise itu berkata, permohonan itu akan dibatalkan dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Saya ingin memohon maaf kepada semua dan saya mengambil keputusan untuk tidak mendaftarkan produk tersebut,” katanya dalam sidang akhbar secara maya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau Menangis belum jadi hak eksklusif Noor Kartini

Iklan

Harimau Menangis: Ini penjelasan ibu Neelofa

'Harimau Menangis' trending di Twitter

Iklan

Beliau juga memohon maaf di atas kekhilafan yang telah berlaku sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

"Tujuan asal saya memohon 'trademark' ini adalah hanya untuk melindungi jenama perniagaan saya dan juga ejen jualan kami daripada masalah produk tiruan," katanya.

Tambah Noor Kartini, beliau tiada niat untuk menutup pintu rezeki sesiapa.

"Saya percaya rezeki kita masing-masing datangnya daripada ALLAH SWT. Diharap dengan penjelasan ini isu ini selesai dan tidak berpanjangan,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial usahawan itu mendakwa jenama 'Harimau Menangis' bagi produk keluarannya sudah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan beliau mempunyai hak eksklusif ke atas cap dagangan nama berkenaan.

Ekoran itu, rata-rata warga maya menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama daging 'Harimau Menangis' dalam produk mereka.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd Roslan Mahayudin dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, permohonan cap dagang bagi jenama 'Harimau Menangis' oleh Syarikat Noor Khan Enterprise masih di peringkat pemeriksaan.

Justeru, beliau berkata, jenama yang dimohon Noor Kartini belum diluluskan MyIPO dan menjadi hak eksklusif beliau.

Katanya, permohonan Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lepas dan kelulusannya bergantung kepada hasil pemeriksaan serta pertimbangan agensi tersebut.