PETALING JAYA - Sembilan warga asing ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah kedai makan di sini pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam dan haril risikan pihaknya.
"Seramai 16 orang pegawai Imigresen dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Putrajaya melakukan serbuan ke atas premis berkenaan. Seramai lima orang pekerja warga tempatan dan sembilan pekerja warga asing telah diperiksa semasa serbuan," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, terdapat insiden provokasi semasa pemeriksaan apabila pekerjakedai makan terbabit cuba merakam gambar dan video serta mengganggu tugas pegawai Imigresen.
"Bagaimanapun, situasi ini berjaya dikawal dengan diplomasi tanpa sebarang insiden kekerasan.
"Kesemua sembilan warga asing yang ditahan ini terdiri daripada enam orang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, seorang wanita warga India dan seorang wanita warga Indonesia, kesemua berumur dalam lingkungan 27 hingga 38 tahun," katanya.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penyelia premis berkenaan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
"Warga asing yang ditahan ini didapati telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana telah melanggar syarat pas.
"Kesemua tahanan ini telah dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melakukan ujian saringan Covid-19. Sekiranya keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka akan dibawa dan ditempatkan di lokap Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.