LISBON - Portugal akan kembali menjalani perintah 'lockdown' bermula esok bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19), kata Perdana Menteri, Antonio Costa pada Rabu.
Ia akan menyebabkan kembalinya pelaksanaan perintah 'lockdown' yang pernah dikuatkuasakan pada Mac dan April 2020, kata Costa selepas satu mesyuarat Kabinet.
Perintah itu menyebabkan kedai-kedai yang menjual barangan tidak penting tidak dibuka, kafe dan restoran juga ditutup. Bagaimanapun, kali ini, sekolah-sekolah akan tetap dibuka.
"Peraturannya mudah. Setiap orang daripada kita perlu tinggal di dalam rumah," kata Costa seperti dilaporkan AFP.
Beliau berkata, perintah itu akan berakhir sebulan lagi.
Namun, para pengundi dibenarkan untuk keluar dari kediaman masing-masing untuk mengundi dalam pusingan pertama pilihan raya Presiden pada 24 Januari ini.
Bermula Ahad depan, mereka dibenarkan untuk mengundi awal jika berhasrat mahu berbuat demikian.
Negara itu merekodkan sebanyak 10,556 kes dan 156 kematian dalam tempoh 24 jam lalu. Ketika ini, Portugal mencatatkan lebih 507,000 kes Covid-19 dan 8,236 kematian.
Seminggu lalu, Menteri Kesihatan Portugal, Marta Temido menyuarakan kebimbangan tentang penularan kes itu kerana hospital-hospital di negara berkenaan kini menghadapi tekanan yang besar.
Lebih 4,200 orang sudah dimasukkan ke hospital-hospital pada Rabu dan hampir 600 pesakit berada di dalam unit rawatan rapi. - Agensi