SERAMAI 632 atlet podium, podium para, pelapis kebangsaan dan jurulatih negara melibatkan sebanyak 28 jenis sukan sedang menjalani latihan menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach).
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, latihan tersebut dilakukan di Kompleks MSN Bukit Jalil; Kompleks MSN Taman Keramat; Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara; Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrom Nasional, Nilai.
"Mereka akan meneruskan latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lalu.
"Kem latihan berpusat MSN diteruskan setelah mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 14 Januari lalu dengan syarat semua atlet dan jurulatih tidak dibenarkan keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal.
"Kemudahan pusat latihan hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih. Pergerakan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain daripada atlet dan jurulatih adalah tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau memberitahu, latihan sukan juga akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini.
Menurutnya, sebanyak 11 jenis sukan yang melibatkan seramai 355 atlet dan jurulatih sedia ada di Bukit Jalil dan Kampung Pandan telah dibenarkan untuk 'break camp' sepanjang tempoh PKP.
Jelasnya, bagi memudahkan pengawasan dan pemantauan, MSN telah memindahkan atlet dan jurulatih para yang 'berkampung' di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan ke Kompleks MSN di Bukit Jalil supaya dapat dipusatkan secara bersama.
"Kem latihan secara quarantine based approach ini juga akan dibantu oleh seramai sembilan orang pegawai urusetia, 33 orang kru perkhidmatan kafetaria atlet serta 47 orang khidmat sokongan sains dan perubatan sukan daripada pihak Institut Sukan Negara (ISN).
"Kesemua mereka akan bertugas secara sepenuh masa dengan atlet dan jurulatih negara," katanya.
Mengulas mengenai status atlet yang telah disahkan positif Covid-19 sebelum ini, Ahmad Shapawi berkata, kesemua atlet terbabit iaitu dua daripada sukan olahraga; sukan tenis berkerusi roda (dua), bola keranjang kerusi roda (dua), tenpin boling cacat pendengaran (satu) dan seorang pegawai pengiring sukan boccia telah dibenarkan keluar dari pusat kuarantin pada 12 Januari lalu.
"Kesemua mereka kini berada di Casa MSN untuk tujuan pemulihan kecergasan yang akan dilaksanakan oleh ISN sebelum dibenarkan untuk kembali berlatih.
"Seorang atlet wushu negara yang telah dikesan positif pada 9 Januari masih menjalani kuarantin di pusat kuarantin Sungai Buloh.
"Lima orang pegawai MSN yang dikesan positif sebelum ini juga telah dibenarkan keluar dari PKRC MAEPS Serdang dan Sungai Buloh pada hari ini manakala dua pegawai yang dikesan positif pada 8 dan 10 Januari lalu pula masih menjalani kuarantin di lokasi sama," jelasnya.