SEJAK pelaksanaan PKP tahun lalu, Merak Jalanan sudah biasa dengan suasana kerja dari rumah. Sebab itulah untuk PKP 2.0 kali ini tiada masalah untuk kembali kerja di rumah.
Namun, bagi rakan-rakan sekerja yang sebelum ini kerja seperti biasa di pejabat menghadapi masalah besar untuk kerja di rumah.
Bagi yang bujang mungkin tiada masalah. Tetapi bagi yang ada anak dua atau lebih, kerja dari rumah suatu perkara yang sulit untuk dilaksanakan.
Contoh paling mudah adalah ketika mesyuarat menggunakan Teams atau Google Meet, ada suara latar belakang anak sedang bermain atau menangis.
Tengahari perlu masak makanan anak-anak dan mengemas rumah selain memastikan tugasan kerja harian diselesaikan mengikut waktu ditetapkan ketua.
Namun, team Merak Jalanan juga sudah biasa kerja dari rumah sejak PKP Mac tahun lalu. Mereka sentiasa bekerjasama dalam menyelesaikan tugasan mereka. Semua akan bergilir-gilir rehat termasuk untuk solat dan lain-lain keperluan. Tiada masalah untuk rehat janji kerja siap.
Bagi Merak Jalanan, kerja di rumah juga boleh tingkatkan produktiviti namun bergantung kepada sikap individu itu sendiri, sama ada rajin atau suka curi tulang.
Lagi satu, kerjasama setiap pasukan itu penting. Selain itu, perlu ada ketua yang tahu mengendalikan setiap ahli pasukan yang bertugas. Ketua perlu tahu cara mengenalpasti staf itu kerja seperti biasa atau tidak. Komunikasi penting terutama untuk pantau staf yang senyap ‘tak berbunyi’ dalam grup WhatsApp.
Namun, ketua juga perlu bijak mengendalikan staf yang dilihat sukar bekerja di rumah. Jangan terus marah atau beri surat amaran. Ini kerana keupayaan setiap staf adalah berbeza-beza.
Ada yang laju bekerja dan ada yang ‘merangkak’. Tiada masalah kerja perlahan asalkan memang bekerja, bukannya tengok Netflix atau bermain game.