SHAH ALAM - Peniaga dalam talian berupaya memperoleh keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini seperti mana PKP yang dilaksanakan tahun lalu sekiranya bijak merangka strategi pemasaran masing-masing.
Pengasas dan juga pemilik perniagaan kurta Byaimanhaq, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berpendapat, pemasaran secara dalam talian dan digital sememangnya terbuka luas kepada peniaga untuk memasarkan produk mereka.
Katanya, meskipun negara berdepan dengan pelaksanaan PKP ketika ini, namun jika sekiranya sesebuah produk itu dikenali ia bukan mustahil untuk terus mencatatkan keuntungan."Bentuk pemasaran penting untuk tarik pelanggan, jadi sebagai peniaga kita kena bijak gunakan pemasaran secara dalam talian dan digital.
"Kalau kita lihat, PKP 1.0 dan PKP 2.0 hampir sama sahaja, jadi tidak mustahil untuk peniaga membuat keuntungan melalui hasil jualan produk kerana apabila barangan atau produk sudah diminati, pelanggan akan tetap mencarinya.
"Sebagai peniaga, kita kena bijak menguruskan pemasaran selain menawarkan produk yang bermutu serta perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, kebanyakan peniaga juga mempunyai strategi perniagaan masing-masing bagi memastikan produk yang dijual atau ditawarkan terus kekal relevan sepanjang masa.
"Biasanya dalam perniagaan kita akan membuat perancangan sasaran perniagaan termasuklah ketika berdepan tempoh sukar seperti PKP ini,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Jelitasara, Wan Zaki Wan Taib pula, PKP yang dilaksanakan tahun lalu telah memberi pengalaman kepada rakyat khususnya peniaga untuk lebih bersedia.Katanya, peniaga berupaya untuk menjana keuntungan melalui jualan dalam talian sekiranya bijak merangka strategi.
Bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk menjangkakan keuntungan kerana kebanyakan rakyat ketika ini lebih tertumpu untuk membeli barangan keperluan asas khususnya makanan.
"Setakat ini jualan kita masih berjalan seperti biasa. Jadi terlalu awal untuk kita katakan tentang kesan PKP kali ini.
"Biasanya apabila sudah masuk minggu kedua dan ke atas barulah kita dapat lihat perbandingan atau perbezaan,” katanya.
Menurutnya, seperti PKP yang dilaksanakan tahun lalu, perniagaan berasaskan pakaian khususnya tudung itu akan memberi fokus kepada pemasaran dalam talian.
"Sepanjang tempoh ini kita akan tumpukan kepada promosi dalam talian kerana pelanggan akan memilih untuk berbelanja secara atas talian berbanding pergi ke butik,” katanya.
Sementara itu, syarikat e-dagang popular, Shopee Malaysia ketika dihubungi pada Selasa memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan pada minggu depan berhubung strategi atau langkah diambil untuk berdepan PKP 2.0.