PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah yang baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Abdul Aziz mempunyai pengetahuan luas dalam bidang pentadbiran hal ehwal Islam dan telah berkhidmat selama lebih 34 tahun di Jakim.
"Beliau dipilih kerana berintegriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang sepanjang perkhidmatan serta diterima baik oleh rakan strategik utama Jakim dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan agensi-agensi agama di bawah jabatan ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan yakin bahawa Abdul Aiz mampu untuk menerajui Jakim sebagai agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan.
"Ini bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang mahu kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam lebih inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan serta peradaban ke arah kesejahteraan sejagat," katanya.
Zulkifli berharap pelantikan Abdul Aziz dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.
"Saya mewakili pihak kerajaan juga ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada keluarga Allahyarham Datuk Paimuzi Yahya atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam semasa hayatnya.
"Moga-moga sumbangan beliau kepada agama, bangsa dan negara menjadi neraca amal kebaikannya di akhirat kelak," katanya.
Abdul Aziz berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1985 dan mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama dari Muslim College, London pada tahun 2003.
Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1986.
Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) (2018- 2020), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) (2017-2018), Pengarah Jakim Cawangan Sarawak (2013-2017) Atase Agama, Bahagian Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, Indonesia (2009- 2013), Ketua Penolong Pengarah (Agama), Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman (2008- 2009) dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jakim (2005-2009) serta Pegawai Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo, Jepun pada tahun 1997.