Banteras gejala rasuah

Iklan
ALIAS

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkasakan peranannya dengan mengukuhkan tiga fungsi utama agensi itu iaitu pencegahan, penguatkuasaan dan pendidikan dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim berkata, SPRM mengambil pelbagai pendekatan yang dilaksanakan dengan sebaiknya sebagai usaha untuk meningkatkan integriti, memberikan kefahaman dan mendidik masyarakat agar membenci rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara pendekatan yang dilakukan SPRM ialah bekerjasama dengan sekolah dan belia dengan menubuhkan Wira Antirasuah dan mewujudkan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di peringkat institusi pengajian tinggi tempatan, malahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut memasukkan modul pencegahan rasuah dalam silibus pembelajaran di universiti itu.

"SPRM juga bekerjasama dengan jabatan kerajaan dan kerajaan negeri Selangor melalui program ikrar bebas rasuah untuk mengingatkan organisasi berkenaan bahawa rasuah itu adalah jenayah. Dalam Islam memang (rasuah) salah dan haram.

Iklan

"Program ini diperkenalkan supaya ahli dan warga kerja menolak rasuah selain memberitahu kepada orang awam bahawa perbuatan menyogok itu adalah satu kesalahan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 64 bertajuk Virus Rasuah: Hadiah Bawa Padah yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Iklan
Dari kiri, Fazrul, Alias, Dr Mohd Farid, Ahmad Tarmizi pada Wacana Al-Quran Siri 64 bertajuk Virus Rasuah: Hadiah Bawa Padah yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian, Khamis.

Wacana turut menampilkan Pensyarah Kanan Kolej Universiti Islam Selangor, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator serta qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang mengalunkan bacaan ayat ke-42 Surah Al- Maidah.

Alias berkata, SPRM turut melancarkan Kempen Perangi Pemberi Rasuah, bagi membolehkan penjawat awam mengadu dan melaporkan aktiviti rasuah dan agensi itu memberikan pengiktirafan kepada mereka.

"Setakat ini, seramai 364 (penjawat awam) yang melapor mengenai sogokan (rasuah) dan lebih RM640,000 sebagai ganjaran telah diberikan kepada mereka kerana kes berjaya diselesaikan dan disabitkan serta dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Alias berkata, dalam satu hadis, Nabi SAW menyatakan bahawa pemberi dan penerima rasuah, kedua-duanya adalah ahli neraka.

Mengulas lanjut, Alias berkata, dalam syarikat swasta atau organisasi komersial, aktiviti rasuah tidak disebut sebagai rasuah.

"Mereka menyebutnya sebagai pakej, komisen dan sagu hati... perkara-perkara ini sukar untuk SPRM pastikan ia rasuah seperti mana yang diperuntukkan dalam akta kita (SPRM). Namun, SPRM mempunyai pegawai penyiasat yang berkelulusan dalam bidang forensik, perakaunan dan kejuruteraan yang terlatih dan berkebolehan untuk mendepani gejala rasuah dalam dunia korporat,” katanya.

Tambah beliau, keyakinan rakyat terhadap maklumat mengenai rasuah yang diberi semakin meningkat. Perkara ini terbukti apabila pada tahun 2019, sebanyak 78 peratus kes yang dituduh di mahkamah memberikan kemenangan kepada SPRM.

"Pada tahun 2020, ia (kes yang dituduh) meningkat kepada 93.4 peratus yang bermaksud sebanyak sembilan daripada 10 kes yang didaftar memberikan kemenangan kepada SPRM,” katanya.

Alias berkata, kejayaan yang dicapai SPRM pada hari ini kerana adanya kolaboratif dengan agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam mengekang gejala rasuah.