KUALA LUMPUR - Bakal pengantin perempuan cemas seketika apabila walinya silap menyebut nama kembarnya dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Al Mukhlisin di sini pada Rabu.
Bagaimanapun Amira Farra Zulfihar, 25, sah menjadi isteri kepada Khairul Anuar Sabli, 30 pada jam 4.25 petang dengan berwalikan datuknya, Abd Rahim Awaludin, 84 tahun setelah bapa kandungnya meninggal dunia lima tahun lalu.
Farra berkata, ketika majlis akan nikah, datuknya tersilap menyebut nama kembarnya, Amira Sara kerana terlalu gementar.
"Jadi bila saya dengar atuk silap sebut nama kembar, berderau darah dan rasa nak gugur jantung, selain tangan turut berpeluh, itu yang tangan saya jadi 'kipas'.
"Sebab jika di rumah, atuk selalu panggil kakak, adik sahaja. Mungkin bila sebut nama, atuk keliru, gementar. Lagipun kebetulan kembar duduk bersebelahan dengan saya, itu yang atuk tersasul," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Farra yang juga seorang doktor tidak menyangka rakaman video yang dimuat naik di Twitter menarik perhatian orang ramai hingga tular.
"Memang tak sangka viral, saya hanya rasa kelakar kerana atuk silap nama.
"Suami pun sedar kesilapan itu. Bila dapat tahu silap, imam pun tegur dan ulang semula ijab kabul," ujarnya.
Pasangan mempelai ini mengambil keputusan mempercepatkan tarikh pernikahan pada 12 Januari berbanding perancangan asal pada 21 Januari setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor berkuat kuasa 13 Januari.
"Bila dapat tahu Selangor akan laksana PKP, kami buat keputusan untuk cepatkan tarikh nikah, memang sudah tidak boleh buat apa.
"Waktu itu baju nikah saya belum siap hanya baju nikah suami sahaja yang dah ada. Jadi mahu atau tidak, saya teruskan sahaja baju sedia ada. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan itu sebenarnya yang saya mahukan.
"Majlis yang berlangsung pun tidak lama, dalam 25 minit hingga 30 minit kerana PKP Bersyarat," katanya telah mengenali suami sejak dua tahun lalu.
Dalam pada itu, anak sulung dari tiga beradik itu berharap orang ramai terus mendoakan kesejahteraan datuk dan keluarganya.
Sejak Khamis, video majlis pernikahan Farra berdurasi 14 saat itu telah tular dengan lebih 249,000 tontonan dan meraih 12,000 ciapan serta ratusan komen dari warga maya.