Kerani rugi lebih RM100,000 dedah maklumat peribadi

Iklan
PDRM

KUALA LUMPUR - Gara-gara mendedahkan maklumat akaun peribadi, seorang kerani akaun wanita kerugian RM112,000 akibat terpedaya dengan panggilan palsu sindiket penipuan Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian itu berlaku pada 2 Januari lalu apabila wanita berusia lingkungan 40-an itu menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mengenai penggunaan kad kredit.

Iklan
Iklan

Dalam perbualan telefon itu, Eng Lai berkata, lelaki berkenaan memberitahu mangsa bahawa terdapat penggunaan kad kredit yang didaftarkan atas namanya dan kemudian menyambungkan panggilan itu kepada ‘pegawai Bank Negara’.

"Pengadu telah mendedahkan maklumat peribadinya setelah berjaya diyakinkan suspek yang menyamar sebagai ‘pegawai Bank Negara’ berkenaan tentang penyalahgunaan nama dalam urusan kad kredit itu.

Iklan

"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu sehari selepas menerima panggilan itu setelah menyemak akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah wang telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini.

Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya menerima sebanyak 193 laporan polis berhubung panggilan palsu Macau Scam melibatkan kerugian sebanyak RM6 juta dengan 30 peratus daripada jumlah kes itu berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Iklan

"Polis memandang serius kes-kes yang melibatkan panggilan palsu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap panggilan yang diterima dengan membuat penilaian dan semakan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Dalam kes berasingan, tujuh individu warga tempatan berumur 23 hingga 40 tahun termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan judi haram dalam talian semasa serbuan di sebuah kondominium di Kepong, di sini pada kira-kira 8.30 malam, 7 Januari lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati premis berkenaan telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan 27 komputer serta beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan perjudian turut dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Bernama