PETALING JAYA - Seorang mekanik didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah berhubung tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap bapanya yang berusia 63 tahun.
A Andrew, 34, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa didapati berkelakuan kurang sopan terhadap bapanya, A Arulnathan, 63, di sebuah rumah di Desa Perangsang di sini, pada jam 7 malam, 10 Januari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100 jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
"Ketika itu saya mabuk, saya hanya mahu berjumpa keluarga saya," katanya.
Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang anggota polis mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tidak menghadirkan diri untuk menjalankan tugas tanpa sebab munasabah selama 25 hari, bermula pada 7 Jun 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Bukit Puchong di sini pada jam 5.15 petang, 2 Jun 2019.
Dia disiasat mengikut Seksyen 86 (1) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Zamriah Zarifah mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun dia yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana kini hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhammad Iskandar menetapkan jaminan sebanyak RM1,200 dengan seorang penjamin dan 19 Mac depan sebagai sebutan semula kes.